
ALOR SETAR, 27 Ogos – Lions Clubs International Foundation (LCIF) meluluskan Geran Padanan berjumlah USD150,000 bagi menjayakan projek baharu “One Vision, One Bus – Mobile Eye Clinic for Northern Malaysia”, yang bertujuan memperluaskan akses perkhidmatan penjagaan mata kepada masyarakat di wilayah utara.
- Projek "One Vision, One Bus" memperluaskan akses penjagaan mata di utara, menyasarkan warga emas, pelajar, penduduk luar bandar dan golongan kurang akses.
- Perkhidmatan dirangka sebagai rangkaian menyeluruh: saringan, pengesanan awal, rujukan, rawatan dan tindakan susulan.
- Keberhasilan bergantung pada kerjasama hospital, profesional kesihatan, yayasan dan NGO, selain kepakaran, tenaga kerja dan komitmen operasi jangka panjang.
Projek bernilai keseluruhan kira-kira RM850,000 itu diterajui Lions Club of Alor Star Host dengan kerjasama beberapa kelab Lions serta rakan strategik daripada sektor kerajaan, hospital, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Geran berkenaan disampaikan oleh Pengerusi LCIF merangkap Immediate Past International President Lions Clubs International, Lion A.P. Singh.
Pengerusi Penganjur Projek “One Vision, One Bus” yang juga First Vice District Governor Lions Clubs International District 308B5, Datuk Dr. Cheng Joo An, berkata kelulusan geran itu membuka peluang untuk membangunkan satu lagi perkhidmatan kesihatan bergerak yang mampan bagi masyarakat di utara Semenanjung.
Menurut beliau, Mobile Eye Clinic akan menyediakan perkhidmatan penjagaan mata lebih dekat kepada masyarakat, khususnya warga emas, pelajar sekolah, penduduk luar bandar serta golongan yang kurang mendapat akses kepada kemudahan penjagaan mata di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Projek itu dirangka sebagai satu rangkaian penjagaan yang menyeluruh, bermula daripada proses saringan dan pengesanan awal, diikuti rujukan, rawatan serta tindakan susulan.
“Mobile Eye Clinic bukan sekadar memerlukan sebuah kenderaan dan peralatan, malah ia turut memerlukan kepakaran perubatan, tenaga kerja, sistem rujukan, tindakan susulan serta komitmen operasi untuk jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama pelbagai pihak termasuk hospital, profesional kesihatan, yayasan dan NGO amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Pengalaman selama 15 tahun dalam mengendalikan program Mobile Health Screening turut menjadi asas kepada pembangunan Mobile Eye Clinic sebagai satu lagi inisiatif perkhidmatan kesihatan bergerak yang dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat di utara Semenanjung.