Teknologi perluas akses bahan bacaan, semarak budaya membaca

Foto janaan AI/RTM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kemajuan teknologi yang memperluas akses kepada bahan bacaan dalam pelbagai medium membantu menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • PNM menyediakan hampir 15 juta bahan bacaan digital percuma melalui U-Pustaka.
  • Kajian PNM menunjukkan purata rakyat Malaysia membaca 13 naskhah buku setahun, peningkatan ketara berbanding sebelumnya.
  • PNM anjur Festival Penceritaan Malaysia, gabungkan elemen teknologi untuk penyampaian penceritaan lebih moden dan menarik.
  • Empat pertandingan bercerita dan sesi bengkel disediakan, menyasarkan pelajar serta memberi peluang kumpul mata PAJSK.

Timbalan Pengarah Bahagian Pinjaman, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Hasnida Jakeria berkata, perkembangan itu membolehkan rakyat membaca bukan sahaja melalui buku fizikal, malah menerusi bahan digital dan pelbagai bentuk media.

“Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara, rakyat Malaysia membaca 13 naskhah buku setahun. Bukan sahaja buku fizikal, malah daripada medium-medium yang berbeza.

“Jadi kita nampak peningkatan ketara sebab sebelum ini cuma dua naskhah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Tambah beliau, PNM turut menyediakan hampir 15 juta bahan bacaan digital menerusi U-Pustaka secara percuma kepada rakyat.

Kepelbagaian medium yang ditawarkan memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan.

Dalam pada itu, Hasnida memaklumkan PNM mengambil pendekatan proaktif dalam memupuk budaya membaca dengan penganjuran Festival Penceritaan Malaysia pada 21 dan 22 September ini.

“Kita gunakan penceritaan sebagai satu strategi untuk menggalakkan rakyat terus membaca kerana sebelum kita bercerita kita perlu membaca terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat.

“Festival ini juga mengetengahkan elemen teknologi dalam penceritaan bagi menjadikan kaedah penyampaian lebih moden dan menarik,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, festival berkenaan menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung, selain menampilkan sembilan sesi bercerita bersama pencerita profesional dan beberapa bengkel.

PNM turut menganjurkan empat pertandingan bercerita yang terbuka kepada rakyat Malaysia, khususnya pelajar sekolah.

Penyertaan pertandingan berkenaan juga membolehkan pelajar mengumpul mata Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.