Alcaraz tewaskan Zverev, mara ke pentas akhir Terbuka Australia

Tenis Terbuka Australia ,Melbourne Park, Melbourne, Australia – Carlos Alcaraz dari Sepanyol beraksi semasa perlawanan separuh akhir menentang Alexander Zverev dari Jerman/foto REUTERS

MELBOURNE, 30 Januari – Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz, mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit mengatasi masalah kecederaan kaki untuk menewaskan pemain Jerman, Alexander Zverev, dalam perlawanan separuh akhir epik Terbuka Australia, sekali gus mara ke perlawanan akhir pertamanya di Melbourne.

RINGKASAN BERITA AI
  • Carlos Alcaraz bangkit walau berdepan kecederaan paha kanan untuk menang lima set epik ke pentas akhir Terbuka Australia.
  • Kemenangan 7-5 pada set terakhir selepas drama tie-break mengekalkan peluangnya melengkapkan Grand Slam karier.
  • Kepercayaan diri dan pengalaman lima set membantu Alcaraz bertahan hingga titik akhir di Rod Laver Arena.

Alcaraz mencatat kemenangan 6-4, 7-6(5), 6-7(3), 6-7(4), 7-5 dalam perlawanan yang berlangsung selama lima jam 27 minit, sekali gus mengekalkan peluangnya untuk melengkapkan Grand Slam karier.

Pemain berusia 22 tahun itu kelihatan bergelut dengan masalah pada bahagian paha kanan ketika kedudukan terikat 4-4 dalam set ketiga, yang akhirnya dimenangi Zverev menerusi penentuan ‘tie-break’. Pergerakan Alcaraz dilihat terhad, memaksanya bergantung kepada ketepatan pukulan dan strategi penempatan bola bagi meneruskan perlawanan.

Bagaimanapun, Alcaraz terus bertahan sebelum memastikan kemenangan pada set penentuan. Beliau kini dijadual bertemu sama ada Novak Djokovic atau Jannik Sinner pada aksi akhir Ahad ini, dengan kemenangan bakal menyaksikannya melengkapkan koleksi kejuaraan utama.

Tidak asing dengan perlawanan lima set di pentas besar selepas kejayaannya menewaskan Sinner pada perlawanan akhir Terbuka Perancis tahun lalu, Alcaraz berkata kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi kunci kejayaannya dalam perlawanan separuh akhir Terbuka Australia terpanjang dalam sejarah.

“Saya sentiasa percaya, walaupun kesukaran yang dihadapi. Dari segi fizikal, ini antara perlawanan paling mencabar dalam karier singkat saya,” katanya.

Beliau menambah, pengalaman lalu membantunya untuk terus berjuang sehingga mata terakhir, selain berasa bangga dengan kebangkitan yang ditampilkan pada set kelima.

Pada awal perlawanan, Alcaraz meraih kelebihan apabila mematahkan servis Zverev hasil kesilapan dwi (double fault), sebelum menguasai set pertama. Zverev bagaimanapun bangkit pada set kedua, namun Alcaraz meningkatkan intensiti permainan untuk menguasai ‘tie-break’.

Zverev memenangi set ketiga dan keempat selepas Alcaraz mengambil masa rawatan perubatan, sekali gus memaksa perlawanan ke set penentuan. Pada set kelima, pemain pilihan ketiga itu terlebih dahulu memecahkan servis Alcaraz, namun pemain Sepanyol tersebut kembali mempamerkan aksi terbaiknya.

Sorakan gemuruh penonton di Rod Laver Arena mengiringi kebangkitan Alcaraz, yang akhirnya mematahkan servis Zverev pada permainan ke-10 sebelum menamatkan perlawanan dengan penuh dramatik.

“Saya tidak akan berada di sini tanpa sokongan anda semua,” kata Alcaraz kepada penonton.

“Saya amat bersyukur dan gembira kerana berpeluang beraksi di final pertama saya di Melbourne dan berjuang merebut gelaran,” katanya. – REUTERS