Ismail Sabri tiba di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi hadapi pertuduhan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.33 pagi bagi menghadapi pertuduhan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada pukul 9.00 pagi.
  • Sesi pendakwaan ditangguhkan dari 7 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara.
  • Peguam memohon penangguhan kerana kemungkinan degupan jantung tidak sekata dan perlu prosedur pemasangan perentak.
  • SPRM merampas RM170 juta tunai dan 16 kg jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta berhubung siasatan dan penahanan empat pegawai kanan.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes terhadap bekas perdana menteri itu akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada pukul 9.00 pagi.

Beliau tiba di kompleks mahkamah diiringi pegawai dan turut berkesempatan bertemu penyokong yang telah berada di lokasi itu seawal pukul 7.30 pagi.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri sepatutnya didakwa di mahkamah pada 7 Ogos, namun prosiding ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Sehubungan itu, Hakim Suzana menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke tarikh hari ini.

Ia selepas peguam mewakili Datuk Seri Ismail iaitu Datuk Amer Hamzah Arshad memohon penangguhan berikutan anak guamnya mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (‘possible arrhythmia’) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (‘pacemaker procedure’).

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram (kg) jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Datuk Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.