Pegawai CAAM maut kemalangan di Tawau

Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Batu 3, Jalan Apas, Tawau pada Rabu – Foto RTM

TAWAU, 27 Ogos – Seorang lelaki maut dalam nahas membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta di Batu 3, Jalan Apas, di sini, kira-kira pukul 6.00 petang Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa berusia 55 tahun, pegawai trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).
  • Kedua-dua kenderaan bergerak searah; motosikal dipercayai hilang keseimbangan akibat permukaan jalan tidak rata.
  • Motosikal terjatuh di hadapan kereta, pemandu tidak sempat membrek; motosikal terperosok di bawah hadapan kenderaan.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; hubungi Inspektor Joseph Jelian 016-806 7272.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh mengesahkan, mangsa merupakan penunggang motosikal berusia 55 tahun dan bekerja sebagai pegawai trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Tawau.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan ambulans Hospital Tawau.

Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak sama arah.

Kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dari Kampung Titingan menuju ke Batu Payung, manakala mangsa menunggang motosikal dari arah Bandar Tawau menuju ke Taman Millenium.

Menurut ACP Rosdi, ketika kereta terbabit melalui kawasan lampu isyarat Batu 3, motosikal mangsa yang berada di sebelah kenderaan tersebut dipercayai hilang keseimbangan akibat permukaan jalan yang tidak rata ekoran kerja-kerja penurapan jalan.

Mangsa dipercayai terjatuh di hadapan kereta itu, namun pemandu tidak sempat membrek lalu melanggar mangsa dan motosikal mangsa sehingga terperosok di bawah bahagian hadapan kenderaan.

Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau dan bedah siasat akan dilakukan pada pukul 9.00 pagi Khamis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Joseph Jelian di talian 016-806 7272, atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.