
FLORIDA, 30 Januari – Pelari pecut Amerika Syarikat dan pemenang pingat emas Olimpik, Sha’Carri Richardson, ditahan pihak berkuasa pada Khamis di Orange County, di sini atas pertuduhan pemanduan laju dan berbahaya.
- Sha’Carri Richardson ditahan di Orange County atas tuduhan memandu laju dan berbahaya.
- Kenderaannya dilaporkan memecut hingga 104 mph dan menukar lorong secara agresif.
- Insiden ini menambah lagi kontroversi terhadap pelari yang pernah berdepan siasatan lain.
- Richardson sebelum ini berdepan penggantungan WADA dan isu keganasan rumah tangga tahun lalu.
Menurut Jabatan Sheriff Orange County, atlet berusia 25 tahun itu ditahan selepas dikesan memandu pada kelajuan 104 batu sejam (167 kilometer sejam), selain didakwa memandu secara berbahaya dengan mengekori kenderaan lain terlalu rapat serta menukar lorong secara agresif bagi memintas pengguna jalan raya.
“Richardson didakwa atas kesalahan pemanduan laju berlebihan yang membahayakan keselamatan awam,” katanya.
USA Track & Field setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Pada Sukan Olimpik Paris, Richardson memenangi pingat perak acara 100 meter sebelum membantu pasukan Amerika meraih pingat emas dalam acara 4×100 meter berganti-ganti.
Insiden terbaharu itu menambah senarai kontroversi melibatkan atlet berkenaan. Julai lalu, Richardson pernah ditahan di Seattle atas dakwaan keganasan rumah tangga selepas didakwa menolak teman lelakinya, juga pelari pecut terkenal, Christian Coleman, di sebuah pusat pemeriksaan keselamatan lapangan terbang.
Bagaimanapun, Richardson kemudiannya memohon maaf kepada Coleman dan memaklumkan hasrat untuk mendapatkan bantuan profesional.
Pada 2021, Richardson turut berdepan penggantungan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) selepas diuji positif ganja, menyebabkan beliau terlepas peluang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo pada tahun tersebut. – REUTERS