Seri tanpa jaringan, Iran gagal atasi 10 pemain Belgium

 Penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand, menyelamatkan gawang melepasi pemain pertahanan Belgium Maxim De Cuypern, bola sepak Kumpulan G Piala Dunia 2026 antara Belgium dan Iran / foto AFP

LOS ANGELES, 22 Jun – Iran dan Belgium berkongsi satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan dalam aksi kedua Kumpulan G, Piala Dunia 2026, di Stadium Los Angeles, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gol Mehdi Taremi pada minit ke-25 dibatalkan oleh VAR kerana dianggap ofsaid saat menerima sepakan bebas Ehsan Hajsafi.
  • Nathan Ngoy dilayangkan kad merah pada minit ke-66 selepas menjatuhkan Taremi, menyebabkan Belgium beraksi dengan 10 pemain.
  • Penjaga gol Alireza Beiranvand membuat beberapa penyelamatan penting, termasuk menafikan percubaan Maxim De Cuyper dan sepakan penjuru De Bruyne.

Biarpun beraksi dengan 10 pemain ketika perlawanan berbaki hampir 30 minit, skuad kendalian Rudi Garcia berjaya menyekat Iran daripada melakukan jaringan.

Dalam perlawanan itu, skuad Amir Ghalenoei memperoleh peluang pertama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-14 namun sepakan voli Hossein Kanani berjaya diselamatkan Thibaut Courtois

Kegembiraan pasukan Iran meraih gol pertama pada minit ke-25 bagaimanapun dinafikan Video Bantuan Pengadil (VAR) apabila Mehdi Taremi didapati berada dalam keadaan ofsaid ketika menerima sepakan bebas Ehsan Hajsafi.

Seminit sebelum tamat babak pertama, giliran Belgium cuba memecah kebuntuan namun percubaan jarak dekat Maxim De Cuyper berjaya diselamatkan penjaga gawang Iran, Alireza Beiranvand.

 Pemain Iran meraikan kejayaan mereka pada penghujung perlawanan bola sepak Kumpulan G Piala Dunia 2026 antara Belgium dan Iran / foto AFP

Pasukan kendalian Garcia bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-66 apabila pemain pertahanan, Nathan Ngoy dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Taremi yang sekali gus menggagalkan peluang Iran menjaringkan gol.

Iran mula menguasai pemainan dan Belgium terpaksa bertahan serta memperlahankan rentak permainan bagi mengelakkan gol mereka dibolosi.

Bagaimanapun, sepakan penjuru Kevin De Bruyne hampir berhasil pada minit ke-83 tetapi berjaya diselamatkan Beiranvand.

Beiranvand terus mempamerkan aksi luar biasa apabila sekali lagi menafikan percubaan De Cuyper pada minit ke-86.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.