
HALLE, 22 Jun – Frances Tiafoe mencatat kejayaan terbesar dalam kariernya selepas menewaskan rakan senegara, Taylor Fritz 6-4, 6-4 untuk muncul juara tenis Terbuka Halle pada Ahad.
- Menjadi pemain AS pertama sejak 1993 yang menjulang trofi ATP 500 di gelanggang rumput.
- Memulakan perlawanan agresif, memecah servis awal dan mengawal permainan sehingga mengekalkan momentum.
- Gelaran keempat karier, pertama dalam tiga tahun; mengakhiri tujuh kekalahan berturut-turut kepada Fritz dan naik sembilan anak tangga.
Kemenangan itu turut menyaksikan pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 28 tahun tersebut menjadi pemain AS pertama sejak 1993 yang menjulang trofi ATP 500 di gelanggang rumput.
Tiafoe memulakan perlawanan dengan agresif apabila mematahkan servis Fritz pada set pertama dan kekal tenang untuk mengawal permainan tanpa memberi ruang kepada lawannya untuk kembali bangkit.
Momentum tersebut diteruskan pada set kedua apabila beliau sekali lagi mencuri servis awal sebelum menguasai permainan untuk menoktahkan kemenangan.
“Saya rasa saya servis dengan sangat baik pada set pertama, saya tidak rasa saya boleh melakukan sebarang kesilapan.
“Saya juga menerima servis dengan baik. Servis saya sepanjang perlawanan tidak banyak masalah dan saya sangat gembira dapat menamatkan perlawanan ini,” kata Tiafoe.

Sepanjang aksi akhir tersebut, Tiafoe hanya kehilangan tujuh mata ketika melakukan servis, sekali gus melengkapkan penampilan sulung yang cemerlang di kejohanan tersebut.
Kejayaan ini juga merupakan gelaran keempat dalam kariernya dan yang pertama dalam tempoh tiga tahun, selain menamatkan rekod tujuh kekalahan berturut-turut kepada Fritz sejak kemenangan pertamanya pada 2016.
Sebelum ini, Tiafoe tewas dalam empat aksi akhir peringkat ATP 500 ke atas, termasuk kekalahan kepada Fritz di Tokyo pada 2022, selain tersingkir dalam aksi panjang di Terbuka Perancis awal bulan ini.
Kemenangan di Halle turut melonjakkan Tiafoe sembilan anak tangga ke ranking ke-19 dunia, sekali gus meningkatkan keyakinannya menjelang Wimbledon yang akan bermula pada 29 Jun ini. -REUTERS