Sepanyol hampiri aksi pusingan kalah mati

Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, bereaksi semasa perlawanan bola sepak Kumpulan H Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Arab Saudi di Stadium Atlanta di Atlanta / foto AFP

ATLANTA, 22 Jun – Sepanyol semakin menghampiri aksi saingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas membelasah Arab Saudi 4-0 dalam aksi Kumpulan H, awal pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lamine Yamal membuka jaringan awal pada minit ke-10 selepas menolak hantaran lintang Mikel Oyarzabal.
  • Mikel Oyarzabal menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama, menyudahkan umpanan Aymeric Laporte dan menjadikan kedudukan selesa.
  • Gol Ferran Torres dibatalkan oleh semakan VAR kerana ofsaid; Sepanyol kini di puncak Kumpulan H dan akan berdepan Uruguay.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Atlanta, Amerika Syarikat (AS) itu, skuad La Roja kendalian Luis de la Fuente membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi penyerang sensasi, Lamine Yamal selepas menolak masuk hantaran lintang Mikel Oyarzabal.

Sebelas minit berselang, giliran Oyarzabal mula menjaringkan gol kedua permainan selepas menyudahkan umpanan Aymeric Laporte.

Oyarzabal sekali lagi mewaskan penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais dalam tempoh kurang tiga minit untuk menjadikan kedudukan 3-0 tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Skuad Arab Saudi kendalian Georgios Donis terus dirundung malang apabila tandukan Marc Cucurellla yang ditampan keluar Al-Owais terkena kaki Hassan Altambakti pada minit ke-49 untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Pemain pertahanan Sepanyol, Pau Cubarsi (tengah) dan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon (kanan) terjatuh ketika mereka berebut bola dengan penyerang Arab Saudi, Salem Al-Dawsari / foto AFP

Ketika perlawanan kelihatan semakin menuju ke penghujung tanpa banyak aksi, Sepanyol sekali lagi mempamerkan permainan yang menghiburkan buat para penyokong di Atlanta.

Satu gerakan hantaran pantas berjaya memecahkan benteng pertahanan Arab Saudi, sekali gus memberi ruang kepada Pedro Porro di sebelah kanan kawasan penalti untuk menghantar bola lintang rendah kepada pemain gantian, Ferran Torres, yang mudah menolak masuk bola untuk jaringan kelima.

Bagaimanapun, semakan video bantuan pengadil (VAR) menyusul dan akhirnya diputuskan bahawa Torres berada dalam kedudukan ofsaid ketika Porro membuat hantaran tersebut.

Keputusan itu menyaksikan Sepanyol berada di kedudukan teratas Kumpulan H dan akan berdepan Uruguay untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.