
ATLANTA, 22 Jun – Lamine Yamal kembali menyerlah apabila menjaringkan gol dalam penampilan semula bersama Sepanyol, ketika juara Eropah itu membelasah Arab Saudi 4-0 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia, awal pagi ini.
- Sepanyol bertekad bangkit selepas keputusan seri mengejut 0-0 menentang Cape Verde.
- Mikel Oyarzabal meledak dua gol dalam tempoh tiga minit, meletakkan Sepanyol selesa 3-0 dalam 24 minit.
- Gol keempat hadir minit ke-49 apabila rembatan Cucurella diselamatkan penjaga gol, terkena pertahanan lalu menerjah jaring.
Pemain berusia 18 tahun itu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 untuk meletakkan La Roja di landasan kemenangan selesa ke atas pasukan Arab Saudi yang bergelut sepanjang perlawanan.
Sepanyol bertekad bangkit selepas sekadar mencatat keputusan seri mengejut 0-0 menentang Cape Verde dalam aksi pembukaan mereka minggu lalu.
Yamal kembali diturunkan dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang memaksanya berehat selama dua bulan.

Dalam perlawanan itu, Sepanyol bermula garang dengan menguasai permainan sejak dari awal.
Yamal menyudahkan hantaran rendah Mikel Oyarzabal untuk gol pertama, sebelum Oyarzabal meledak dua gol dalam tempoh tiga minit bagi meletakkan Sepanyol selesa 3-0 dalam tempoh 24 minit permainan.
Gol keempat Sepanyol hadir pada minit ke-49 apabila rembatan Marc Cucurella diselamatkan penjaga gol Arab Saudi, Mohammed al-Owais, namun bola terkena pertahanan Hassan al-Tambakti sebelum menerjah jaring.
Kemenangan itu menyaksikan Sepanyol mendahului Kumpulan H dengan empat mata selepas dua perlawanan. – AFP