
BERLIN, 22 Jun – Pemain Republik Czech, Linda Noskova, merangkul gelaran pertama gelanggang rumput dalam kariernya selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Jessica Pegula, 6-4, 4-6, 6-3 di pentas akhir tenis Terbuka Berlin, pada Ahad.
- Noskova kekal tenang pada set penentuan, memperoleh break awal dan menamatkan perlawanan.
- Kemenangan memberi Noskova gelaran WTA kedua dan dijangka membawa beliau ke kelompok 10 terbaik dunia.
- Pegula gagal mempertahankan gelaran, walaupun mengatasi pemain nombor satu Aryna Sabalenka di separuh akhir.
Pilihan kelapan kejohanan itu memanfaatkan peluang break point ketiganya untuk memenangi set pertama sebelum Pegula bangkit menguasai set kedua dalam saingan yang sengit bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, Noskova kekal tenang pada set ketiga apabila berjaya memperoleh break awal sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan yang memberikannya gelaran perseorangan WTA kedua dalam karier.

Kejayaan tersebut dijangka melonjakkan pemain berusia 20 tahun itu ke kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama, sekali gus menjadi pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini.
Noskova yang kini menghuni ranking ke-13 dunia mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan, yang mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain muda paling menyerlah dalam saingan tenis wanita.
Sementara itu, Pegula gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada 2024 dan terlepas peluang untuk meraih gelaran kedua dalam tiga edisi kejohanan tersebut.
Kekalahan itu hadir meskipun Pegula mencipta kejutan dengan menewaskan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, pada peringkat separuh akhir.
Perlawanan akhir berkenaan turut tertangguh akibat cuaca ekstrem yang memaksa penganjur mengosongkan kawasan penonton atas faktor keselamatan. – REUTERS