
ISTANBUL, 22 Jun – Pusingan pertama rundingan empat pihak melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS) dengan pengantaraan Qatar dan Pakistan telah berakhir di Switzerland, lapor Ajansi Anadolu yang memetik agensi berita separa rasmi Iran, Fars News Agency pada Ahad.
- Mesyuarat ditangguhkan selepas kira-kira 80 minit untuk membolehkan delegasi mengadakan perundingan dalaman.
- Tiada butiran lanjut diumumkan mengenai bila sesi seterusnya akan bermula.
- Rundingan teknikal menumpukan pelaksanaan perjanjian interim, termasuk usaha menamatkan konflik dan membuka semula Selat Hormuz.
Memetik sumber yang mengetahui mengenai pasukan perunding Iran, laporan itu menyatakan pusingan awal rundingan yang dihoskan Switzerland itu telah selesai.
Mesyuarat berkenaan ditangguhkan selepas kira-kira 80 minit rundingan bagi membolehkan delegasi yang terlibat mengadakan perundingan dalaman, menurut sumber itu.
Tiada butiran lanjut diumumkan serta-merta mengenai bila sesi seterusnya akan bermula.
Terdahulu pada hari yang sama, Qatar mengumumkan permulaan rundingan AS-Iran di Switzerland dengan penyertaan pengantara dari Qatar dan Pakistan bagi membincangkan pelaksanaan syarat-syarat perjanjian interim antara kedua-dua pihak.
Delegasi AS dan Iran tiba lebih awal di Switzerland untuk rundingan teknikal di bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani pada Rabu bagi menamatkan konflik Asia Barat yang berlarutan selama beberapa bulan serta membuka semula Selat Hormuz.
Rundingan di Burgenstock itu diketuai oleh Naib Presiden AS JD Vance, manakala di pihak Iran pula diwakili Speaker Parlimen Mohammad Bagher Qalibaf dan Menteri Luar Abbas Araghchi, dengan Pakistan bertindak sebagai pengantara. – BERNAMA