Isteri PM Bangladesh terpesona keindahan Putrajaya

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Jun – Isteri Perdana Menteri Bangladesh, Dr. Zubaida Rahman hari ini meluangkan masa menikmati pengalaman menaiki Cruise Tasik Putrajaya sambil menyaksikan keunikan seni bina serta panorama bangunan ikonik di sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Disambut mesra oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh.
  • Lawatan ini sebahagian daripada program rasmi dua hari Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke Malaysia.
  • Tujuan lawatan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Bangladesh serta memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.
  • Hubungan perdagangan kekal positif; Bangladesh rakan dagang ke-28 Malaysia dengan nilai dagangan RM12.18 bilion, kedua terbesar di Asia Selatan selepas India.

Ketibaan beliau pada pukul 9.30 pagi disambut mesra oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Sepanjang pelayaran selama kira-kira sejam itu, Dr. Zubaida berkesempatan beramah mesra bersama Dr. Wan Azizah dan Hannah Yeoh sambil menikmati keindahan landskap Putrajaya yang menjadi antara tarikan utama pelancongan negara.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian program sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke Malaysia yang bermula malam Ahad lalu.

Lawatan atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Bangladesh yang sedia erat, di samping memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang kepentingan bersama.

Untuk rekod, ini merupakan lawatan rasmi dua hala pertama Tarique ke luar negara sejak beliau menyandang jawatan tersebut pada Februari 2026, sekali gus mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Dalam perkembangan berkaitan, hubungan perdagangan Malaysia-Bangladesh terus mencatatkan momentum positif apabila Bangladesh kini kekal sebagai rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global, dengan nilai dagangan mencecah RM12.18 bilion.

Di peringkat serantau pula, Bangladesh turut tersenarai sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan selepas India, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi antara kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.