
LONDON, 22 Jun – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dilaporkan mungkin mengumumkan pelan pengundurannya seawal hari ini ketika pencabar utamanya dalam Parti Buruh, Andy Burnham, kembali ke Dewan Rakyat.
- Lebih 100 daripada 403 ahli Parlimen Parti Buruh telah meminta Keir Starmer berundur, menunjukkan tekanan dalaman yang meningkat.
- The Guardian melaporkan beliau menyediakan ucapan peletakan jawatan; BBC pula melaporkan beliau mungkin membentangkan pelan pengunduran pada Isnin.
- Andy Burnham menang pilihan raya kecil Makerfield dan mengumumkan hasrat bertanding sebagai ketua Parti Buruh, berpotensi menjadi perdana menteri jika tiada pencabar.
Burnham dijadual mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen tiga hari selepas memenangi pilihan raya kecil Makerfield, sekali gus melayakkannya mencabar kepimpinan Starmer mengikut peraturan parti.
The Guardian melaporkan Starmer sedang menyediakan ucapan peletakan jawatan selepas berdepan tekanan kuat daripada ahli Parlimen Parti Buruh supaya memberi laluan kepada Burnham.
BBC dan beberapa akhbar Britain turut melaporkan semakin banyak petunjuk bahawa beliau akan membentangkan pelan pengundurannya pada Isnin.
Starmer sebelum ini menegaskan akan menentang sebarang usaha menyingkirkannya, namun kemenangan besar Burnham di Makerfield dipercayai mendorong beliau menilai semula kedudukannya.
Lebih 100 daripada 403 ahli Parlimen Parti Buruh dilaporkan sudah meminta Starmer berundur.
Starmer menghabiskan hujung minggu bersama keluarganya di Chequers, kediaman rasmi luar bandar perdana menteri, sambil berbincang dengan sekutu politik.
Setiausaha Perniagaan, Peter Kyle berkata Starmer sedang mengambil masa untuk menilai realiti, cabaran dan peluang politik yang dihadapinya.
Menurut The Guardian, beliau mungkin kekal memegang jawatan sehingga selepas musim panas sebelum penggantinya diumumkan pada persidangan parti penghujung September.
Burnham, yang menjadi Datuk Bandar Greater Manchester sejak 2017, sudah menyatakan hasrat untuk bertanding merebut kepimpinan Parti Buruh.
Dalam ucapan selepas memenangi pilihan raya kecil, beliau memberi amaran bahawa parti pemerintah kini mempunyai “peluang terakhir untuk berubah”.
Sekiranya memenangi kepimpinan tanpa pencabar lain, Burnham boleh menjadi perdana menteri secara automatik kerana Parti Buruh memiliki majoriti besar di Parlimen.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut meramalkan Starmer akan berundur menerusi hantaran di Truth Social pada Ahad.
Trump mendakwa Starmer gagal dalam dasar imigresen dan tenaga, manakala hubungan antara kedua-duanya dilaporkan merosot susulan perang Iran.
Starmer, yang mengambil alih jawatan pada Julai 2024, berdepan tekanan berterusan akibat beberapa kesilapan dasar, perubahan pendirian, skandal dan peletakan jawatan menteri.
Kedudukannya semakin terjejas selepas prestasi buruk Parti Buruh dalam pilihan raya tempatan dan wilayah di England, Scotland serta Wales bulan lalu.
Sekiranya Starmer berundur tahun ini, Britain akan mendapat perdana menteri ketujuh dalam tempoh sedekad. – AFP