Letupan kilang di Qatar: 54 cedera, 18 masih hilang

Foto AFP

DOHA, 22 Jun – Seramai 54 cedera dalam insiden letupan dan kebakaran sebuah kilang di Bandar Perindustrian Ras Laffan, Qatar, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal mengesan punca letupan ialah kerosakan teknikal pada kemudahan industri.
  • Letupan mencetuskan kebakaran di kemudahan bekalan gas Barzan, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
  • Ras Laffan adalah hab LNG terbesar, pembaikan kemudahan yang rosak mungkin mengambil masa tiga hingga lima tahun.

Kementerian Dalam Negeri Qatar mengesahkan, 18 individu lagi masih hilang dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih diteruskan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kerosakan teknikal,” menurut kenyataan kementerian itu di platform X.

Syarikat tenaga milik kerajaan, QatarEnergy memaklumkan letupan berlaku ketika operasi di kawasan perindustrian berkenaan sedang dimulakan semula.

Kejadian itu mencetuskan kebakaran di kemudahan bekalan gas tempatan Barzan.

Seorang wartawan AFP yang berada kira-kira 20 kilometer dari lokasi melihat api dan kepulan asap tebal dari kawasan berkenaan.

Ras Laffan menempatkan hab gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia dan pernah mengalami kerosakan akibat perang Amerika Syarikat (AS) -Iran.

Qatar, antara pengeluar utama LNG dunia bersama AS, Australia dan Rusia, menghentikan pengeluaran bahan api itu pada 2 Mac selepas serangan dron Iran mengenai beberapa kemudahan utama.

Serangan lanjut pada 18 Mac dijangka mengurangkan kapasiti eksport LNG negara itu sebanyak 17 peratus.

Menteri Tenaga Qatar, Saad Al-Kaabi, sebelum ini berkata kerja pembaikan kemudahan yang rosak mungkin mengambil masa antara tiga hingga lima tahun. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.