
BEIJING, 22 Jun – China melarang eksport barangan dwikegunaan ke atas 10 entiti Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa serta-merta sebagai tindak balas terhadap tindakan Washington menyenarai hitam lebih banyak syarikat Beijing.
- Beberapa syarikat termasuk Aveox, Red Cat, Teal Drones, Ball Aerospace dan Oshkosh Defense dimasukkan ke dalam senarai kawalan eksport China.
- Pengendali eksport dilarang membekalkan barangan dwikegunaan kepada entiti terbabit dan semua urusan berkaitan yang sedang berjalan perlu dihentikan.
- Keputusan dibuat menurut undang-undang kawalan eksport, untuk melindungi keselamatan negara dan memenuhi kewajipan antarabangsa mencegah percambahan senjata.
Kementerian Perdagangan China berkata entiti terbabit dimasukkan ke dalam senarai kawalan eksport negara kerana dikaitkan dengan sektor ketenteraan.
“Antara yang disenaraikan termasuk Aveox Inc., Red Cat Holdings Inc., Teal Drones Inc., IMSAR dan Jaia Robotics Inc.
Turut dikenakan sekatan ialah Ball Aerospace and Technologies Corp., Oshkosh Defense, L3Harris Maritime Services Inc., MP Materials Corp. dan USA Rare Earth Inc,” menurut kementerian itu.
Selain itu, pengendali eksport tidak lagi dibenar membekalkan barangan dwikegunaan kepada entiti terbabit, manakala semua urusan berkaitan yang sedang berjalan perlu dihentikan.
Organisasi dan individu dari mana-mana negara atau wilayah turut dilarang memindahkan atau membekalkan barangan berasal dari China kepada syarikat berkenaan.
Kementerian itu berkata keputusan dibuat selaras undang-undang kawalan eksport dan peraturan berkaitan bagi melindungi keselamatan serta kepentingan negara.
Langkah berkenaan juga bertujuan memenuhi kewajipan antarabangsa China termasuk usaha mencegah percambahan senjata.
Seorang jurucakap kementerian memaklumkan tindakan itu susulan keputusan AS memasukkan lebih banyak syarikat China ke dalam senarai entiti yang didakwa mempunyai kaitan dengan tentera negara berkenaan. – REUTERS