Australia rampas 2.7 tan kokain, terbesar dalam sejarah negara

Rampasan seberat 2.7 tan itu merupakan yang terbesar dalam sejarah negara berkenaan. / Foto AFP

SYDNEY, 22 Jun – Polis Australia merampas 2.7 tan kokain bernilai lebih A$800 juta, rampasan terbesar seumpamanya dalam sejarah negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kokain ditemui di belakang hartanah Londonderry, disorok dalam bekas plastik di bawah lantai palsu dalam tiga kontena perkapalan.
  • Polis menyiasat sindiket jenayah terancang berpangkalan di Sydney dan bekerjasama dengan penguatkuasaan antarabangsa; kapal MV Wealth ditahan di Kepulauan Solomon.
  • Beberapa suspek ditahan termasuk dua lelaki yang cuba melarikan diri, didakwa memiliki dadah import komersial dengan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Pasukan penyiasat jenayah terancang menemukan dadah berkenaan pada Jumaat di bahagian belakang sebuah hartanah di Londonderry, barat laut Sydney.

Kokain itu diletakkan di dalam bekas plastik sebelum disorokkan dibawah lantai palsu dalam tiga kontena perkapalan.

Komander Polis Persekutuan Australia, Stephen Jay mendedahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket terlibat.

“Kami akan bekerjasama dengan rakan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dan domestik bagi mengenal pasti sindiket jenayah yang terlibat,” katanya.

Polis percaya sebuah kumpulan jenayah terancang yang berpangkalan di Sydney mengatur penghantaran kokain itu menggunakan kapal asing.

Dadah berkenaan dipercayai dipunggah di utara Queensland sebelum dibawa ke Sydney untuk diedarkan.

Sebuah kapal yang disyaki terbabit dalam operasi penyeludupan itu, MV Wealth, ditahan pihak berkuasa di Kepulauan Solomon bagi membantu siasatan.

Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki berusia 21 dan 25 tahun diberkas selepas cuba melarikan diri.

Kedua-duanya didakwa memiliki dadah import dalam kuantiti komersial, kesalahan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Enam individu lain yang dipercayai terbabit dalam pengimportan kokain itu sudah ditahan dan didakwa lebih awal dalam siasatan sama.

Siasatan berkenaan sebelum ini turut membawa kepada rampasan 178 kilogram kokain dan 142 kilogram metamfetamin, menjadikan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas melebihi tiga tan.

Negara Kepulauan Pasifik semakin kerap dijadikan lokasi transit untuk menyeludup kokain dan metamfetamin dari Amerika Selatan serta Asia Tenggara ke Australia dan New Zealand.

Menurut laporan tahunan Institut Penington, kematian berkaitan kokain di Australia meningkat 28 peratus kepada rekod 141 kes pada 2024. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.