
MANILA, 22 Jun – Sekurang-kurangnya tiga pelajar remaja maut manakala lima lagi cedera dalam satu insiden tembakan di sebuah sekolah menengah di wilayah Leyte, tengah Filipina, hari ini.
- Dua suspek bawah umur, 15 dan 14, ditahan dan disoal siasat bersama ibu bapa.
- Polis siasat motif termasuk kemungkinan berkaitan kes buli, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
- Siasatan berterusan bagaimana senjata diperoleh dan dibawa masuk ke kawasan sekolah, serta isu kawalan keselamatan.
- Jabatan Pendidikan dan penguat kuasa bekerjasama; rakaman menunjukkan pelajar panik, mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.
Menurut polis, dua suspek berusia 15 dan 14 tahun dipercayai melepaskan tembakan secara rambang di Sekolah Menengah Kebangsaan San Jose di Tacloban City kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.
Pegawai polis, Leftenan Evalyn Diaz, berkata kedua-dua suspek telah ditahan dan sedang disoal siasat dengan kehadiran ibu bapa mereka kerana masih di bawah umur.
“Kami menerima maklumat awal bahawa motif kejadian mungkin berkaitan dengan kes buli, namun perkara itu masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan,” katanya.
Beliau berkata polis turut menyiasat bagaimana kedua-dua suspek memperoleh senjata api berkenaan serta bagaimana ia berjaya dibawa masuk ke kawasan sekolah.
Rakaman video yang tular di media tempatan menunjukkan suasana cemas apabila pelajar menjerit dan menangis sambil berlindung di dalam bilik darjah ketika bunyi tembakan kedengaran.
Semua mangsa yang cedera segera dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Filipina menyifatkan kejadian berkenaan sebagai situasi berisiko tinggi.
Pegawai di peringkat pusat, wilayah serta daerah sedang bekerjasama dengan pihak sekolah dan penguat kuasa bagi memastikan keselamatan kawasan terbabit.
Insiden tembakan di sekolah jarang berlaku di Filipina, namun keganasan bersenjata masih menjadi isu di beberapa kawasan negara itu.
Pada 2022, tiga individu termasuk seorang bekas datuk bandar terbunuh dalam satu insiden tembakan sebelum majlis graduasi di Ateneo de Manila University.
Siasatan kemudian mendapati serangan itu bermotifkan dendam peribadi.
Walaupun pemilikan senjata api di Filipina dikawal ketat, pasaran gelap senjata masih wujud dan menjadi antara cabaran utama pihak berkuasa negara itu. – AFP