- Pelantikan tiga jurulatih baharu untuk sektor perseorangan lelaki, pembangunan remaja dan beregu wanita memperkukuh perancangan jangka panjang BAM.
- Keputusan berasaskan cadangan pengarah kejurulatihan untuk memastikan peralihan pemain muda ke peringkat senior berjalan lancar.
- Jurulatih baharu akan bekerjasama dengan ketua jurulatih dan barisan sedia ada bagi membentuk skuad lebih kompetitif.

KUALA LUMPUR, 30 Januari – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus memperkukuh perancangan jangka panjang sukan badminton negara menerusi pelantikan tiga jurulatih baharu yang melibatkan sektor perseorangan lelaki, pembangunan remaja serta beregu wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Dr Lee Chong Wei berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh badan induk berkenaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan pemain dari peringkat akar umbi hingga ke pentas elit antarabangsa.
Menurut beliau, Harry Hartono dilantik sebagai jurulatih perseorangan lelaki, Yeoh Kay Bin sebagai jurulatih perseorangan lelaki remaja manakala Mohd Zakry Abdul Latif diberi tanggungjawab mengendalikan skuad beregu wanita.
“Pelantikan ini dibuat selepas perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kenneth Jonassen yang mengemukakan cadangan berdasarkan keperluan sebenar pasukan, khususnya dalam memastikan peralihan pemain muda ke peringkat senior berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata pengalaman sebagai bekas pemain membolehkannya memahami keperluan sebenar pasukan kejurulatihan, selain menilai kesesuaian peranan setiap jurulatih agar selari dengan hala tuju prestasi BAM.
Harry dan Yeoh akan berganding bahu membimbing skuad perseorangan lelaki negara di bawah penyeliaan Ketua Jurulatih Datuk Tey Seu Bock, bersama barisan jurulatih sedia ada termasuk K. Yogendran, Alvin Chew dan Goh Giap Chin.
Dalam perkembangan sama, Lee berkata pelantikan Zakry bagi sektor beregu wanita dibuat berdasarkan cadangan Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky, yang melihat jurulatih tempatan itu memiliki potensi besar untuk memperkukuh program sedia ada.
Zakry akan bekerjasama dengan Ketua Jurulatih Rosman Razak serta jurulatih Ching Kai Feng dan Amelia Anscelly dalam membentuk skuad beregu wanita yang lebih kompetitif.
Ketiga-tiga jurulatih berkenaan dijadualkan melapor diri dan memulakan tugas secara rasmi pada Februari ini, dengan Yeoh Kay Bin pada 3 Februari, Harry Hartono (10 Februari) dan Mohd Zakry Abdul Latif (20 Februari).