Konsert Wings Orang Kita kembali gegarkan Zepp KL, buka lembaran era baharu rock

Kumpulan Wings bakal kembali menggegarkan pentas menerusi konsert khas Wings Orang Kita

KUALA LUMPUR, 16 Januari – Kumpulan rock legenda tanah air, Wings bakal kembali menggegarkan pentas menerusi konsert khas Wings Orang Kita yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wings akan mengadakan konsert khas Wings Orang Kita di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari 2026.
  • Konsert memperkenalkan dua ahli baharu, Pae dan Arm, membuka era baharu tanpa kehilangan identiti rock Wings.
  • Acara itu penghargaan untuk peminat "Orang Kita" dengan kejutan eksklusif dan peluang menonton kembali persembahan Wings 40 Tahun.
  • Wings merancang karya baharu dan tiket dijual dari RM148 hingga RM8,800 termasuk beberapa kategori eksklusif.

Dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah, konsert tersebut membawa nafas baharu buat Wings dengan kemunculan dua ahli baharu, Pae dan Arm, sekali gus membuka lembaran era baharu tanpa menghilangkan identiti rock yang menjadi DNA Wings sejak sekian lama.

Konsert itu bukan sekadar hiburan, malah satu penghargaan istimewa buat peminat setia Wings yang digelar “Orang Kita”.

Ia juga memberi peluang kepada peminat yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun, selain menjanjikan beberapa kejutan eksklusif yang hanya boleh dirasai secara langsung pada malam konsert.

Dengan gabungan tenaga lama dan semangat baharu, Wings turut mendedahkan perancangan untuk memperkenalkan karya-karya baharu sebagai kesinambungan perjalanan seni mereka.

Tiket konsert Wings Orang Kita ditawarkan pada harga bermula RM148 hingga RM8,800, merangkumi pelbagai kategori termasuk Rockzone Standing, Rockzone Seating, Premium Seat dan VIP Box.

Masih berbisa dan penuh jiwa, Wings Orang Kita dijangka menjadi malam penuh emosi yang meraikan legasi, perubahan dan masa depan kumpulan rock ikonik tanah air itu bersama peminat.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan