MATTA Fair 2026: Lebih 2,000 reruai, pelbagai hadiah menanti pengunjung

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Sebanyak 2,054 reruai daripada 306 organisasi akan menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) edisi ke-59 yang bakal berlangsung dari 4 hingga 6 September di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelbagai promosi dan tambang istimewa dari Malaysia Airlines dan Firefly ke destinasi serantau dan jarak jauh.
  • Malaysia Aviation Group menyokong Buyers’ Contest dengan menyediakan tiket penerbangan sebagai hadiah kepada para pemenang.
  • Masuk percuma sepanjang pameran; perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan dari Kuala Lumpur Sentral dan Sunway Putra Mall.

Pameran berkenaan turut menawarkan pelbagai promosi dan tambang istimewa bagi rangkaian penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly, meliputi destinasi serantau seperti Bangkok, Singapura, Jakarta, Bali dan Hanoi, selain destinasi jarak jauh termasuk London, Melbourne, Sydney, Tokyo dan Auckland.

Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, pameran edisi ini akan membawakan persembahan eksklusif bersama artis jemputan istimewa serta pelbagai ganjaran menarik buat pengunjung.

“Malaysia Aviation Group (MAG) juga akan menyokong Buyers’ Contest dengan menyediakan tiket penerbangan sebagai hadiah kepada para pemenang.

“Pengunjung juga berpeluang merakam dan berkongsi perjalanan mereka ke MATTA Fair menerusi perkhidmatan bas ulang-alik percuma di media sosial untuk merebut peluang memenangi pelbagai hadiah termasuk telefon pintar dan tablet,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Isnin.

Tambahnya, kerjasama erat dengan Malaysia Aviation Group (MAG) bakal membuka banyak peluang kepada pengunjung untuk meneroka destinasi dalam dan luar negara, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Tahun ini, MATTA Fair akan berlangsung di 10 dewan pameran berkeluasan kira-kira 40,820 meter persegi.

“Ia juga kekal sebagai pameran pelancongan pengguna terbesar di Asia Tenggara,” menurutnya.

Bagi ahli Enrich, jualan khas Enrich Priority Sale akan berlangsung pada 1 dan 2 September, sekali gus memberi mereka akses awal kepada tambang promosi.

MATTA Fair dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tiga hari penganjuran.

Perkhidmatan bas ulang-alik percuma turut disediakan dari Kuala Lumpur Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.