Air Empangan Muda surut, nelayan darat Kedah resah

Foto RTM

SIK, 24 Ogos – Penyusutan paras air di Empangan Muda, Kedah sejak beberapa bulan lalu meresahkan nelayan darat di kawasan berkenaan apabila hasil tangkapan ikan air tawar semakin berkurangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Paras air surut jelas, menampakkan tebing, tunggul kayu dan pokok yang telah mati.
  • Nelayan Ahmad berkata ikan sukar membiak apabila air surut, sekali gus menjejaskan hasil tangkapan.
  • Penyusutan air menyukarkan pemasangan pukat; ikan bersembunyi di celah kayu dan pukat mudah tersangkut.
  • Empangan Muda menjadi sumber pendapatan nelayan Belantik, Kota Aur dan Gubir serta tarikan pelancong.

Tinjauan wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapati kawasan tadahan air itu mengalami penyusutan ketara sehingga menampakkan tebing tasik, tunggul kayu serta pokok yang telah mati.

Rata-rata nelayan darat yang ditemui memaklumkan, sebelum ini mereka mampu membawa pulang hasil tangkapan ikan air tawar seberat puluhan kilogram, namun sejak kebelakangan ini hasil yang diperoleh semakin sedikit.

Seorang nelayan, Ahmad Abd Hamid, berkata keadaan air yang surut menyebabkan ikan sukar membiak, sekali gus menjejaskan hasil tangkapan.

“Memang banyak berkurangan kerana apabila air surut, ikan tidak mempunyai tempat untuk membiak. Biasanya, jika turun menangkap ikan setiap hari, kami boleh memperoleh sehingga 20 kilogram (kg). Namun sekarang, untuk mendapatkan 20 kg pun sudah sukar,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Mohd Yusuf Mat Ali, berkata penyusutan air turut menyukarkan mereka memasang pukat kerana banyak ikan berada di celah kayu di dasar tasik.

“Ikan memang banyak, tetapi kita tidak dapat menangkapnya kerana apabila ikan berada di celah kayu, pemasangan pukat menjadi sukar dan pukat juga mudah tersangkut.

“Kalau air penuh, lebih mudah untuk kita menangkap ikan kerana ikan banyak berada di tepi. Ikan tilapia pun sekarang tidak banyak, sekitar 5 kg sahaja berbanding dahulu yang boleh mencecah 30 hingga 40 kg,” katanya.

Empangan Muda menjadi antara lokasi nelayan darat dari sekitar Belantik, Kota Aur dan Gubir mencari rezeki menerusi aktiviti menangkap ikan sebagai sumber pendapatan. Selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air, Empangan Muda turut menjadi tumpuan pelancong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.