
BATU KAWAN, 24 Ogos – Kira-kira 5,450 pengakap tempatan dan antarabangsa dari 11 buah negara dijangka menyertai Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) di Bandar Cassia, di sini bermula 29 Ogos hingga 4 Sept ini.
- Tema program: Menjejak Warisan, Membina Masa Depan; dirasmikan oleh Perdana Menteri.
- Program mengetengahkan kebudayaan, kekeluargaan dan semangat persahabatan antara pengakap.
- Arena Jambori dan Malam Kebudayaan tawarkan gerai makanan, pameran, aktiviti keluarga; peserta digalakkan memakai pakaian tema Sarung Batik.
Ia melibatkan peserta antaranya dari Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkafli Kamaruddin, berkata penganjuran program yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Ogos itu adalah bertemakan “Menjejak Warisan, Membina Masa Depan”.
Menurutnya, ia bukan sahaja menjadi medan perhimpunan pengakap dari dalam dan luar negara, malah turut mengetengahkan aspek kebudayaan, kekeluargaan dan semangat persahabatan dalam kalangan peserta.
Pelbagai aktiviti yang mengetengahkan aspek kebudayaan, kekeluargaan serta semangat persahabatan bakal diketengahkan.
“Antara acara utama ialah Malam Kebudayaan pada 1 Sept di Stadium Batu Kawan dan Arena Jambori yang dibuka kepada orang awam dari 10 pagi hingga tengah malam setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata Arena Jambori menyediakan pelbagai tarikan termasuk gerai makanan, pameran, aktiviti keluarga dan persembahan pentas bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat merasai kemeriahan MYJAM15.
Sementara acara Malam Kebudayaan menggalakkan peserta mengenakan pakaian tema Sarung Batik.
Pulau Pinang mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah pertama di Teluk Bahang pada 1966 dan selepas 60 tahun, jambori pengakap kebangsaan kembali diadakan di negeri itu.