
HULU TERENGGANU, 24 Ogos – Kes penyalahgunaan dadah menunjukkan penurunan dengan 130,000 kes direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 134,000 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
- Penggunaan dadah sintetik meningkat lebih 70 peratus, terutama di negeri Pantai Timur.
- Golongan umur 31 hingga 59 tahun mencatat jumlah tertinggi, hampir 93,000 kes.
- Golongan 60 tahun ke atas: 3,229 orang atau kira-kira 2.5 peratus, angka menurun berbanding tahun lalu.
- Jumlah kes penyalahgunaan dadah di Terengganu berkurangan sebanyak 1.33 peratus.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh bagaimanapun berkata, penggunaan dadah sintetik meningkat lebih 70 peratus, terutama di negeri Pantai Timur.
Beliau mendedahkan, paling ramai membabitkan golongan berusia 31 hingga 59 tahun dengan mencatatkan hampir 93,000 kes.
“Bagi golongan berusia 60 tahun ke atas, seramai 3,229 orang atau kira-kira 2.5 peratus direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
“Jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 4,311 orang yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu. Bagaimanapun, golongan berusia antara 31 hingga 59 tahun masih mencatat jumlah tertinggi, ” katanya ketika ditemui media di sini.
Namun, beliau berkata, secara keseluruhan, jumlah kes penyalahgunaan dadah di Terengganu berkurangan kepada 1.33 peratus.
Terdahulu, Datuk Ruslin merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kerja-kerja Pengubahsuaian Pejabat AADK di Hulu Terengganu.