
KLUANG, 24 Ogos – Program Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang di sini memberi fokus kepada usaha menaiktaraf infrastruktur bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan 574 murid dan 51 guru.
- SMK Layang-Layang terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.
- TalentCorp menyumbang RM40,000 untuk pembinaan pentas baharu menyokong aktiviti sekolah.
- Projek infrastruktur melibatkan pembinaan bumbung, penutup longkang, baik pulih lantai dan tambah binaan simen.
- Baki peruntukan digunakan untuk program pembangunan pelajar seperti perkemahan, motivasi dan pemupukan kepimpinan muda.
Sekolah berkenaan terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada April lalu.
Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, usaha naik taraf itu turut mendapat kerjasama TalentCorp, menerusi sumbangan RM40,000 bagi membina pentas baharu.
Antara projek dijalankan ialah pembinaan bumbung, penutup longkang, baik pulih lantai, serta menambah binaan simen.
Baki peruntukan inisiatif pula akan digunakan untuk anjuran program pembangunan pelajar, seperti aktiviti perkemahan dan motivasi.
“(Kerajaan) akan terus memberikan kemudahan dan perhatian kepada golongan pelajar, supaya mereka dapat melihat kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan serta masa depan mereka.
“Usaha itu juga bagi menggalakkan golongan muda untuk bersama-sama kerajaan dalam pembangunan negara, seterusnya melahirkan generasi yang mampu menjadi pemimpin terbaik pada masa hadapan,” katanya lagi.
Usaha yang disokong TalentCorp, mencerminkan sokongan berterusan agensi kerajaan dan institusi pendidikan dalam mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kondusif.