
PUTRAJAYA, 24 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bakal menampilkan beberapa kelainan, antaranya penampilan sulung pasukan Johor Military Force (JMF).
- Penampilan sulung Johor Military Force (JMF) dalam perbarisan, melibatkan 100 anggota.
- 1,500 pelajar dari 36 sekolah akan mempersembahkan Human Graphics pada sambutan 31 Ogos.
- Persiapan Dataran Putrajaya melepasi 70 peratus, dijangka capai 80 hingga 90 peratus; MRT 24 jam dan teksi air percuma disediakan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM2026), berkata seramai 100 anggota JMF akan menyertai perbarisan bersama kontinjen dan aset lain pada sambutan 31 Ogos ini.
Orang ramai juga berpeluang melihat aset ketenteraan dan kepolisian dengan lebih dekat apabila aset berkenaan ditempatkan secara statik di beberapa lokasi sepanjang sambutan tersebut.
“Antara kelainan sambutan tahun ini ialah penampilan sulung pasukan Johor Military Force (JMF), selain pameran aset ketenteraan secara statik yang membolehkan pengunjung melihat aset berkenaan dengan lebih dekat,” katanya.
Dalam perkembangsan sama, beliau memaklumkan, persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya kini melepasi 70 peratus dan dijangka mencapai antara 80 hingga 90 peratus dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Saya rasa setakat ini mungkin dalam 70 peratus, lebih daripada 70 peratus. Dalam masa beberapa hari ini, saya jangka kita akan capai 80 hingga 90 peratus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, seramai 1,500 pelajar daripada 36 buah sekolah di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor terlibat menjayakan persembahan ‘Human Graphics’ yang akan dipersembahakan pada hari sambutan, 31 Ogos ini.
“Buat masa ini, sesi latihan sedang giat dijalankan termasuk penglibatan 1,500 pelajar dari 36 buah sekolah dari tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor bagi persembahan human graphic,” katanya.
Terdahulu beliau hadir bagi majlis penyeraham sumbangan penajaan oleh rakan strategik kepada peserta Human Grafic Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Tapak Human Terrace, Dataran Putrajaya, hari ini.
Beliau memaklumkan, latihan penuh akan diadakan pada 28 dan 29 Ogos, manakala 30 Ogos ditetapkan sebagai hari rehat peserta.
Sementara itu tambahnya, perkhidmatan MRT pada 30 dan 31 Ogos akan beroperasi 24 jam sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.
“Bagi memudahkan pergerakan pengunjung, perkhidmatan MRT akan beroperasi 24 jam pada 30 dan 31 Ogos, selain perkhidmatan teksi air percuma turut disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, aspek kesihatan dan keselamatan peserta serta pengunjung turut diberi perhatian, khususnya mengambil kira keadaan cuaca semasa.
Datuk Seri Fahmi berkata pandangan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan akan turut diteliti bagi memastikan aspek berkenaan diberi perhatian sewajarnya.