Agrobank, MSU memeterai MoU, sasar lahir 5,000 penggiat industri halal

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri) bersama Presiden Management and Science University (MSU) Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (kanan)/ foto BERNAMA

SHAH ALAM, 24 Ogos – Agrobank dan Management and Science University (MSU) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat dan kompetensi dalam industri halal, dengan sasaran melahirkan 5,000 penggiat industri halal yang berpengetahuan dan berkemahiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan TVET disasarkan melatih kira-kira 300 penggiat halal untuk meningkatkan kepakaran dan membantu mereka mendapatkan pensijilan halal.
  • Agrobank akan melatih usahawan agromakanan bagi memudahkan proses pensijilan halal dan membuka akses pasaran lebih luas.
  • MSU melalui ICHLAS menyediakan pendidikan, penyelidikan dan inovasi manakala Agrobank pula menyediakan pembiayaan, khidmat nasihat halal dan peluang pasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh inisiatif Halal@Agrobank menerusi pembangunan bakat dan tenaga profesional, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bersama MSU, kita akan membangunkan kepakaran dalam kalangan pengurus untuk melaksanakan penilaian berasaskan TVET bagi industri halal.

“Kita menjangkakan dapat melatih kira-kira 300 penggiat industri halal untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang ini, seterusnya membantu mereka mendapatkan pensijilan halal dan memasuki pasaran.

“Pada masa sama, kita akan melatih usahawan, khususnya dalam bidang agromakanan, bagi membantu mereka mendapatkan pensijilan halal untuk produk masing-masing,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Pemeteraian Kerjasama Strategik antara Agrobank dan MSU di sini hari ini.

Datuk Tengku Ahmad Badli Shah berkata sasaran berkenaan selaras dengan Pelan Hala Tuju Halal Agrobank 2026-2030 yang turut menyasarkan pembangunan 10,000 usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi meningkatkan kapasiti perniagaan, memenuhi keperluan pematuhan halal serta meneroka pasaran lebih luas.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama berkenaan turut menyediakan laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun merangkumi pendidikan dan latihan, penguasaan kompetensi serta aplikasi dalam industri.

“MSU akan menyediakan kepakaran dalam pendidikan dan latihan termasuk TVET, penyelidikan, inovasi serta pembangunan kompetensi.

“Agrobank pula akan menghubungkan kepakaran itu dengan pembangunan usahawan, akses pembiayaan, khidmat nasihat halal dan peluang pasaran,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Dr Mohd Shukri Ab. Yajid, berkata MoU berkenaan turut memperkukuh peranan International Centre for Halal Studies (ICHLAS) sebagai platform perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan secara inklusif serta holistik.

“Di MSU, kami melihat industri sebagai rakan strategik dalam menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga sebagai rakan pembangunan yang turut menyumbang kepada pengukuhan kurikulum, pembelajaran berasaskan pengalaman, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.