MIHAS 2026 sasar jualan RM5 bilion

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof dalam sidang media di ibu negara – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meningkatkan sasaran nilai jualan keseluruhan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 kepada RM5 bilion berbanding sasaran awal RM4.5 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sambutan pembeli antarabangsa melebihi jangkaan; lebih 500 termasuk berulang dan pembeli baharu.
  • Pensijilan halal kini merangkumi sembilan skim termasuk farmaseutikal, kosmetik serta peranti perubatan.
  • MIHAS 2026 di MITEC (23-26 Sept) mensasarkan 2,400 reruai daripada 45 negara dan menggunakan AI untuk padanan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, unjuran itu dinaikkan susulan sambutan menggalakkan daripada pembeli dan pengimport antarabangsa, selain penyertaan kukuh pemain industri halal tempatan dan luar negara.

“Bagi tahun ini, kita menaikkan sasaran daripada RM4.5 bilion kepada RM5 bilion. Seperti saya kongsikan sebelum ini, kita menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pembeli dan pengimport antarabangsa.

Sasaran awal ialah 300 pembeli, namun jumlah yang diterima setakat ini melebihi 500, termasuk pembeli berulang dan pembeli baharu dari seluruh dunia.

“Perkembangan itu mencerminkan keyakinan berterusan pembeli antarabangsa terhadap produk serta pasaran negara, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media mengenai Sidang Kemuncak Halal Global (GHAS) 2026 di Menara MATRADE, di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Abu Bakar berkata, pensijilan halal kini bukan lagi terhad kepada sektor makanan dan minuman (F&B).

“Sebaliknya merangkumi sembilan skim, termasuk farmaseutikal, kosmetik serta yang terbaharu, peranti perubatan.

“Perkembangan itu menyaksikan semakin banyak syarikat mahu mendapatkan maklumat (daripada MATRADE) mengenai proses pensijilan halal. Ini bagi membolehkan produk mereka dipasarkan di Malaysia, selain dieksport ke pasaran antarabangsa, ” ujar beliau.

MIHAS 2026 dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 September di MITEC Kuala Lumpur, dengan sasaran penyertaan 2,400 reruai dari sekurang-kurangnya 45 negara.

Pameran kali ke-22 itu turut mengetengahkan 14 kluster produk dan
perkhidmatan, termasuk farmaseutikal, kosmetik, logistik halal, mesin dan peralatan serta fesyen.

Selain itu, edisi MIHAS kali ini turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memudah cara padanan perniagaan antara pemain industri.

Sementara itu, eksport halal Malaysia pada 2025 mencecah RM68.52 bilion, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kerajaan menyasarkan nilai eksport halal negara mencapai RM80 bilion menjelang 2030.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.