
PUTRAJAYA, 24 Ogos – Prospek ekonomi Malaysia kekal positif apabila Indeks Pelopor (IP) meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada 114.8 mata pada Jun 2026, berbanding 113.3 mata pada tempoh sama tahun lalu.
- Prospek ekonomi kekal positif disokong pengukuhan aktiviti perdagangan dan permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik.
- Peningkatan IP dipacu lonjakan import logam asas berharga, logam bukan ferus dan kenaikan import semi konduktor.
- Indeks Serentak mengukuh disokong kenaikan caruman KWSP, pertumbuhan kuantiti perdagangan runcit dan peningkatan kapasiti penggunaan pembuatan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, peningkatan itu dipacu terutamanya oleh Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain yang melonjak 35.1 peratus, selain Import Benar Semi Konduktor yang meningkat 14.2 peratus.
“Prestasi itu selari pengukuhan aktiviti perdagangan negara, khususnya permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E).
“Bagaimanapun, prestasi keseluruhan IP diimbangi oleh penurunan dalam beberapa komponen, terutama Bilangan Syarikat Baru Didaftar,” jelas DOSM.
Pada asas bulanan, IP meningkat marginal 0.02 peratus, disumbang oleh kenaikan 0.8 peratus dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain.
Walaupun arah aliran jangka panjang terlicin IP masih berada di bawah paras 100 mata, DOSM menjangkakan ekonomi Malaysia terus berkembang, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta aktiviti pelaburan yang terus meningkat.
“Pemulihan perdagangan antarabangsa dan perkembangan landskap ekonomi global turut dijangka menyokong momentum pertumbuhan negara,” menurut DOSM.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur keadaan ekonomi semasa mengukuh 2.6 peratus tahun ke tahun kepada 131.6 mata.
Peningkatan itu disokong pertumbuhan semua komponennya, terutama Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat 16 peratus serta Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit sebanyak 4.1 peratus.
Pada asas bulanan, IS meningkat 0.3 peratus, disumbang oleh kenaikan 0.2 peratus dalam Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan.