Gempa Tokyo : 37 cedera, perkhidmatan pengangkutan terjejas

Kesan gempa di kawasan perumahan berhampiran Tokyo / Foto orang awam

TOKYO, 23 Ogos – Sekurang-kurangnya 37 orang cedera selepas gempa bumi berukuran 5.9 magnitud melanda berhampiran Tokyo awal pagi Ahad, sekali gus menjejaskan perkhidmatan pengangkutan di ibu negara Jepun itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gempa berlaku kira-kira jam 2 pagi di bahagian selatan Prefektur Ibaraki, berhampiran Tokyo.
  • Gegaran kuat dirasai di Tokyo dan kawasan sekitarnya, mencetuskan pengumuman, siren dan notifikasi kecemasan telefon pintar.
  • Gempa berlaku pada kedalaman 68 kilometer dan tiada ancaman tsunami dikesan.
  • Agensi memberi amaran peningkatan risiko tanah runtuh berikutan hujan lebat dan kemungkinan gegaran susulan kuat.

Gempa berlaku pada kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan di bahagian selatan Prefektur Ibaraki, berhampiran Tokyo, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Gegaran kuat dirasai di Tokyo dan kawasan sekitarnya sehingga mencetuskan pengumuman serta siren amaran di jalan raya, selain notifikasi kecemasan pada telefon pintar penduduk di kawasan terjejas.

Agensi itu berkata, gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 68 kilometer dan tiada ancaman tsunami dikesan.

Bagaimanapun, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menganggarkan kekuatan gempa pada 5.8 magnitud.

Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun memaklumkan sekurang-kurangnya 37 orang mengalami kecederaan ringan.

Kes paling serius membabitkan seorang wanita berusia 80-an di Yokohama, selatan Tokyo, yang terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian pinggul ketika cuba bangun dari katil selepas gempa.

Gempa berkenaan turut menjejaskan perkhidmatan kereta api di sekitar Tokyo pada pagi Ahad, menurut Syarikat Kereta Api Timur Jepun.

Sebuah bangunan di Saitama, utara Tokyo, turut mengalami kerosakan kecil, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun.

Agensi berita Kyodo melaporkan pihak berkuasa turut menyiasat sama ada kejadian paip utama air pecah di sebuah kawasan kejiranan di ibu negara mempunyai kaitan dengan gempa berkenaan.

Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran mengenai peningkatan risiko tanah runtuh berikutan gegaran yang mungkin menyebabkan tanah menjadi longgar.

Amaran itu dikeluarkan selepas kawasan berkenaan dilanda hujan lebat pada Sabtu.

Agensi itu turut memberi amaran kemungkinan berlaku gegaran susulan yang kuat dalam beberapa hari akan datang. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.