
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Penghijrahan dan kedatangan masyarakat Cina ke Malaysia serta proses pembentukan identiti dan budaya masyarakat berkenaan bakal diterjemahkan menerusi pementasan tarian A Dance Spectacular di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 5 September depan.
- ASK Dance Company dan Dua Space Dance Theatre sajikan karya gabungan elemen tradisional dan kontemporari di DFP.
- Bahagian pertama, "Pearl of the Orient", menelusuri sejarah dan adaptasi tarian Cina serta peranan asimilasi membentuk identiti tempatan.
- Bahagian kedua, "Passage Into The Unknown: Earth, Water, Fire, Wind", gabungkan estetika tradisional Cina dengan gerakan moden berasaskan empat elemen.
Pementasan berkenaan bakal dijayakan oleh dua kumpulan tarian tempatan iaitu ASK Dance Company dan Dua Space Dance Theatre, menerusi karya yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari.
Pengasas ASK Dance Company, Prof Dr Joseph Gonzales pementasan berkenaan akan dibagikan kepada dua bahagian berdurasi selama dua jam.
Ujarnya, pada bahagian pertama, penonton bakal disajikan dengan persembahan bertajuk Pearl of the Orient’ oleh ASK Dance Company.
Jelas beliau, tarian berkenaan menelusuri perjalanan sejarah dan adaptasi tradisi tarian Cina dari tanah besar ke Malaya (Malaysia) ketika itu.
“Kisah penghijrahan masyarakat Cina ke Malaysia merupakan sebahagian penting dalam pembentukan identiti masyarakat Cina tempatan, yang kemudiannya berkembang dengan tradisi, budaya dan adat resam tersendiri
“Proses asimilasi antara masyarakat pelbagai kaum turut memainkan peranan dalam membentuk identiti bersama sebagai rakyat Malaysia, sekali gus menjadi elemen yang diraikan menerusi persembahan tarian berkenaan,” menurutnya.
Manakala, pada bahagian masa kedua, kumpulan tarian Dua Space Dance Theatre pula bakal meneruskan persembahan tarian bertajuk ‘Passage Into The Unknown: Earth, Water, Fire, Wind’
Menurut pengasas kumpulan berkenaan, Anthony Meh, tarian berkenaan mengadunkan estetika tarian tradisional Cina dengan pergerakan moden berasaskan empat elemen alam.
Pementasan berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat DFP dalam menyediakan platform bagi menyemai rasa cinta masyarakat terhadap seni dan budaya.
Antara karya seni tempatan yang pernah diketengahkan di DFP sebelum ini ialah pementasan Mek Mulung Putera Cahaya Bulan, Randai Mudo Pak Belalang, Jit Sin High School’s Chinese Orchestra, Mistik Pura Masyrik, Temple Of Fine Arts dan Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors.