Tiada rakyat Malaysia terjejas insiden bom di selatan Thailand – Wisma Putra

Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas susulan insiden letupan bom dan serangan serentak di lebih 51 lokasi di wilayah sempadan selatan Thailand di Narathiwat, Patani dan Yala dalam kejadian malam tadi, menurut Kementerian Luar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra memantau rapat situasi dan akan mengeluarkan perkembangan terkini jika perlu.
  • Pasukan keselamatan tempatan meningkatkan pemantauan dan mengenakan perintah berkurung sementara di kawasan terjejas.
  • Kedutaan Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral di Songkhla berhubung rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.
  • Rakyat Malaysia dinasihatkan tingkatkan kewaspadaan, patuhi nasihat keselamatan, daftar dan kemas kini maklumat menerusi portal e-Konsular; hubungi misi untuk kecemasan.

Kementerian berkenaan yang juga dikenali sebagai Wisma Putra hari ini memaklumkan pihaknya memantau rapat situasi itu dan akan mengeluarkan perkembangan terkini sekiranya perlu.

“Pasukan keselamatan tempatan telah mempertingkat kawalan dan langkah keselamatan di seluruh kawasan yang terjejas, termasuk melaksanakan perintah berkurung sementara,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan dan memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia di rantau berkenaan.

“Rakyat Malaysia yang menetap, melakukan perjalanan, atau berhasrat untuk keluar dan masuk ke wilayah-wilayah sempadan selatan Thailand dinasihatkan dengan tegas untuk mengamalkan sikap lebih berwaspada, kekal peka, dan mematuhi sepenuhnya semua nasihat keselamatan, perintah berkurung, serta arahan keselamatan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

Bagi memudahkan komunikasi dan bantuan konsular tepat pada masanya, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular melalui https://ekonsular.kln.gov.my.

Bagi mendapatkan bantuan konsular atau kecemasan, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya menghubungi misi Malaysia yang berkaitan di Thailand melalui butiran berikut:

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok
Telefon: +66 2 340 5720
E-mel: [mwbangkok@kln.gov.my](mailto:mwbangkok@kln.gov.my)

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla
Talian kecemasan: +(6674) 316 274 / +(6681) 990 1930
Pertanyaan am: +(6674) 324 004 / +(6674) 312 353
E-mel: [mwsongkhla@kln.gov.my](mailto:mwsongkhla@kln.gov.my)

Media Thailand melaporkan wilayah Narathiwat, Patani dan Yala digegarkan siri letupan bom dan serangan serentak di lebih 51 lokasi, bermula kira-kira 8.15 malam tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan harta benda dan kebakaran, selain pihak berkuasa Thailand mengeluarkan arahan perintah berkurung di kawasan terjejas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.