
SHAH ALAM, 24 Ogos – Melaka berjaya mempertahankan emas acara badminton campuran menerusi gandingan Aaron Tai Wei Qin
dan Noraqilah Maisarah pada Sukan Malaysia 2026 hari ini.
- Menewaskan gandingan Kelantan 21-18, 21-23, 21-8 selepas perlawanan sengit yang berlanjutan kepada tiga set.
- Aaron berkata kemenangan sangat bermakna kerana ini merupakan penampilan terakhirnya di Sukma.
- Angin kuat di gelanggang ganggu timing pada set kedua menyebabkan mereka tewas 21-23 sebelum bangkit pada set penentuan.
Gandingan berkenaan terpaksa berhempas – pulas kepada gandingan Kelantan, Khai Xing -Chan Wen Tse sebelum menang dalam aksi yang berlanjutan kepada tiga set, 21-18, 21-23 dan 21-8.
Aaron menyifatkan kemenangan berkenaan sangat bermakna kepada pasangan berkenaan memandangkan Sukma kali ini merupakan penampilan terakhirnya pada temasya sukan berkenaan.
“Saya rasa gembira sebab dapat menang pingat ini untuk Melaka, negeri kita,” katanya yang ditemui selepas perlawanan disini.
Pada perlawanan berkenaan, gandingan Aaron-Noraqilah yang memenangi set pertama goyah seketika dan menyebabkan mereka tewas pada set kedua 21-23.
Jelas Aaron, masalah angin yang sedikit kuat di gelanggang memberi ruang kepada pasangan Kelantan menang sekali gus mengheret permainan kepada set penentuan.
“Pada set kedua, saya rasa angin kuat menyebabkan timing semua tidak kena. Akhirnya kami terlepas beberapa mata,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pingat emas beregu lelaki menjadi milik beregu Wilayah Persekutuan, Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen selepas menewaskan rakan sepasukan, Damien Ling-Ethan Oh.