Silambam SUKMA: Selangor, Terengganu ungguli emas hari terakhir

Atlet Silambam Selangor M. Mahendran (kanan) ketika beraksi menentang atlet Perak M. Tharani dalam acara akhir Poruthal Individu Lelaki 65-75 kg/ Foto BERNAMA

SERI KEMBANGAN, 24 Ogos – Saingan bagi acara silambam pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 melabuhkan tirai hari ini, menyaksikan persaingan sengit dalam kategori Poruthal dan Berirama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atlet Selangor M. Mahendran raih emas Poruthal Individu Lelaki 65-75kg, menewaskan wakil Perak 15-12.
  • Terengganu M. Bhagavanth menang emas Poruthal Individu Lelaki melebihi 75kg, kalahkan A Ragavan 21-20.
  • Pulau Pinang ungguli Poruthal Individu Wanita melebihi 70kg, tewaskan Wilayah Persekutuan 23-16.
  • Berirama Tanpa Senjata Campuran: Selangor dan Terengganu menang emas di kategori berbeza, Perak dan Johor raih pingat.

Tuan rumah, Selangor menutup saingan dengan keputusan membanggakan apabila atletnya, M Mahendran meraih pingat emas dalam kategori Poruthal Individu Lelaki 65 hingga 75 kilogram (kg).

Mahendran mempamerkan aksi tangkas untuk menewaskan wakil Perak, M Tharani dengan keputusan 15-12 dalam pertarungan akhir yang mendebarkan.

Pingat gangsa kategori itu menjadi milik kontinjen Melaka.

Dalam kategori Poruthal Individu Lelaki melebihi 75kg, pingat emas dirangkul atlet Terengganu, M Bhagavanth yang menundukkan pencabarnya dari Perak, A Ragavan menerusi kemenangan tipis, 21-20.

Dalam saingan wanita pula, Pulau Pinang menguasai kategori Poruthal Individu Wanita melebihi 70kg selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan dengan mata 23-16 untuk membawa pulang emas.

Bagaimanapun, Pulau Pinang gagal mengulangi kejayaan itu dalam kategori Poruthal Individu Wanita 60 hingga 70kg apabila wakil Sarawak bangkit untuk mencatat kemenangan 12-9, sekali gus menghadiahkan emas buat kontinjen Bumi Kenyalang.

Dalam acara Berirama Tanpa Senjata Campuran, Selangor dan Terengganu sekali lagi mencatat kejayaan apabila mengungguli kategori berbeza.

Selangor meraih emas dalam salah satu kategori Berirama selepas mengumpul 12.1 mata, mengatasi Perak yang meraih 11.8 mata untuk merangkul pingat perak, manakala Terengganu memperoleh gangsa dengan 11.5 mata.

Terengganu kemudian bangkit dalam satu lagi acara Berirama Tanpa Senjata Campuran apabila mengumpul 11.86 mata untuk menggondol emas.

Selangor terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengutip 11 mata, manakala Johor melengkapkan podium dengan meraih gangsa (10.6 mata).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.