
SERI KEMBANGAN, 24 Ogos – Kesibukan menggalas tugas sebagai juruteknik penyaman udara pada waktu siang tidak menghalang atlet silambam Selangor, M. Mahendran mencipta sejarah di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
- Menewaskan wakil Perak M. Tharani 15-12 dalam final Poruthal Individu Lelaki 65-75 kg.
- Melengkapkan hatrik emas SUKMA selepas menang pada 2022, 2024 dan 2026.
- Kemenangan disahkan selepas hampir dua jam menunggu protes. Beliau yakin walaupun berdebar.
- Anggap hatrik sebagai rekod baharu silambam SUKMA, hasil keyakinan dan latihan bersungguh.
Mahendran membuktikan kehebatannya dalam kategori Poruthal Individu Lelaki 65 hingga 75 Kilogram (kg) apabila berjaya menewaskan wakil Perak, M. Tharani dengan keputusan 15-12 dalam aksi akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya, Serdang Jaya.
Lebih manis, kejayaan itu melengkapkan hatrik emas buat Mahendran selepas turut meraih kejuaraan pada edisi 2022 dan 2024.
Namun, kemenangan Mahendran tidak hadir dengan mudah apabila dia terpaksa menunggu hampir dua jam disahkan sebagai pemenang susulan protes.
“Saya pun rasa takut tetapi saya yakin boleh menang dalam protes itu. Selepas dapat (keputusan protes), saya disahkan menang,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.
Mahendran turut menyifatkan pencapaian hatrik emas itu sebagai sesuatu yang membanggakan kerana ia merupakan rekod baharu dalam acara silambam di pentas SUKMA.
“Saya rasa bangga sikitlah sebab emas ini yang ketiga selepas edisi 2022 dan 2024. Tidak pernah ada sesiapa pun melakukan hatrik dalam SUKMA. Kejayaan itu turut didorong keyakinan serta kesungguhan ketika menjalani latihan,” katanya.