
KUBANG PASU, 16 Januari — Lelaki warga Thailand yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan seorang wanita maut di persimpangan Napoh, di sini, malam tadi, direman empat hari hingga 19 Januari bagi membantu siasatan.
- Lelaki warga Thailand direman empat hari bagi membantu siasatan kemalangan maut di persimpangan Napoh.
- Mangsa, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh van ketika lampu isyarat merah.
- Suspek tidak cedera dan ujian air kencing awal menunjukkan bebas dadah; kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri di Mahkamah Majistret Jitra, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abd Rahim, berkata suspek berusia 60 tahun itu ditahan selepas van dipandunya merempuh motosikal mangsa kira-kira pukul 10.15 malam ketika dalam perjalanan ke Satun, Thailand.
Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, dari Kampung Bukit Beruas, Mukim Binjal, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas dirempuh van yang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.
“Van tersebut melanggar motosikal mangsa yang datang dari simpang sebelah kiri. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Radzi berkata pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan kejadian sebuah motosikal dirempuh van yang dipercayai tidak berhenti di lampu isyarat merah di persimpangan Napoh.