Isi bulan Islam dengan aktiviti bermanfaat

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Januari – Masyarakat diseru supaya membuat pilihan terbaik bagi pengisian bulan Islam terutamanya pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan bagi membina jiwa dan membentuk akhlak yang mulia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isi bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan dengan aktiviti membina jiwa dan akhlak mulia.
  • Perkaya program dakwah dengan kandungan menarik dan praktikal untuk semua lapisan masyarakat.
  • Gunakan pendekatan berbeza untuk mendekati netizen melalui teknologi dan AI.
  • Rancang program berimpak, menyeluruh dan bersepadu sepanjang tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata, pihaknya fokus untuk merancakkan lagi program-program pada bulan terbabit dan sepanjang tahun dengan kandungan dakwah Islamik yang menarik.

Keutamaanya kini adalah menggunakan pendekatan berbeza yang memberi tumpuan kepada golongan yang dinamakan sebagai netizen.

Kerangka pendekatan konservatif tidak lagi menarik bagi golongan berkenaan, sebaliknya kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) akan digunakan dalam penyampaian maklumat.

“Jadi kita merasakan bahawa lebih baik kita memfokuskan kepada program-program yang membina jiwa. Mendidik itu adalah peranan kita.

“Dalam masa sama kita ingin mengajak orang ramai untuk kita memilih yang terbaik yang dapat membina jiwa dapat membina akhlak”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung penganjuran konsert nyanyian pada bulan Rejab dan Syaaban.

Terdahulu, Dr Zulkifli merasmikan Konvensyen Dakwah Negara: Mendepani Isu Sosial Umat anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Konvensyen itu menghimpunkan seramai 200 peserta terdiri daripada ahli akademik, tokoh masyarakat, penjawat awam, aktivis dakwah dan mahasiswa.

Antara pengisian program adalah membincangkan solusi dakwah praktikal serta berimpak yang bersifat menyeluruh dan bersepadu kepada semua peringkat masyarakat.