
KUALA LUMPUR, 14 Januari -Kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia bukan sekadar diterima, malah difahami, dihormati dan diraikan bersama sebagai kekuatan utama dalam pembinaan negara bangsa.
- Kepelbagaian budaya dan etnik diraikan sebagai kekuatan utama dalam pembinaan negara bangsa.
- Perayaan Thaiponggal melambangkan kesyukuran, kemakmuran dan kesejahteraan yang dikongsi bersama.
- Perayaan digunakan untuk memperkukuh semangat kebersamaan, saling menghormati dan perpaduan nasional.
Sempena perayaan Thaiponggal, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kekayaan pelbagai pesta menuai yang diraikan masyarakat berbilang etnik mencerminkan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang harmoni.
“Thaiponggal merupakan perayaan kesyukuran sempena musim menuai yang melambangkan penghargaan terhadap alam, hasil bumi serta usaha gigih para petani.
Perkataan Ponggal membawa maksud ‘melimpah’, sebagai simbol kemakmuran, rezeki dan kesejahteraan yang dikongsi bersama,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tambah beliau, ketibaan bulan Thai yang diraikan masyarakat India beragama Hindu sebagai permulaan baharu.
Ia wajar dijadikan ruang untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan saling menghormati.
Datuk Aaron turut mengucapkan Selamat Menyambut Thaiponggal kepada seluruh masyarakat India di Malaysia.
Beliau berharap perayaan itu terus menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional.
“Semoga perayaan ini membawa kebahagiaan, kemakmuran dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian demi Malaysia yang harmoni dan sejahtera,” katanya.