Pendigitalan perolehan Kementerian Pertahanan fokus kurangkan ketirisan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.-Foto Bernama

PUTRAJAYA, 14 Januari – Usaha pendigitalan proses perolehan di Kementerian Pertahanan akan diberi keutamaan oleh kerajaan menerusi penglibatan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Jabatan Digital Negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendigitalan proses perolehan Kementerian Pertahanan diprioritikan untuk memperkukuh tadbir urus.
  • Inisiatif melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Jabatan Digital Negara.
  • Tujuan utama adalah meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan mengurangkan ketirisan.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, usaha tersebut bagi memperkukuh tadbir urus dan mengelak berlakunya ketirisan.

Jelas beliau lagi, langkah itu juga adalah wajar, memandangkan jumlah perolehan tahunan Kementerian Pertahanan yang besar dan memerlukan tahap ketelusan serta kebertanggungjawaban yang tinggi.

“Kementerian pertahanan ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri, memandangkan jumlah perolehan bagi kem sekaligus besar setiap tahun, maka keutamaan wajar dan perlu diberi kepada kementerian pertahanan.

”Jadi, dalam hal ini, akan ada tindakan susulan, termasuk melibatkan kementerian digital dan jabatan digital negara, khususnya untuk membantu proses pendigitalan beberapa proses perolehan supaya kita ada proses yang lebih telus, yang lebih accountable dan lebih bertanggungjawab.

”Pada masa sama dapat mengurangkan kejadian ataupun kebarangkalian masalah ketirisan daripada berlaku,” jelas beliau dalam Sidang media pasca Kabinet pertama 2026 di Putrajaya hari ini.

Pada sidang media sama, Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa penjelasan yang diberikan oleh Menteri Pertahanan berhubung beberapa isu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia telah diterima baik oleh Jemaah Menteri.

Tambahnya, pendekatan memperkukuh tadbir urus melalui pendigitalan selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan, ketelusan dan keyakinan awam terhadap proses perolehan sektor awam khususnya, melibatkan kementerian dengan peruntukan besar.