Wakaf perlu diteroka secara strategik hadapi era teknologi

Dr Zulkifli Hasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Januari – Instrumen wakaf perlu diteroka lebih kreatif dan strategik agar terus relevan dengan cabaran teknologi termasuk sektor media digital serta dakwah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu teroka instrumen wakaf secara kreatif dan strategik untuk kekal relevan dalam era teknologi dan media digital.
  • Wakaf meliputi pembinaan jiwa, pemikiran, nilai dan akhlak melalui dakwah berwibawa.
  • Kerjasama agensi hal ehwal agama untuk memupuk budaya wakaf dan membentuk minda wakaf dalam masyarakat.
  • Pelaksanaan Tabung Dana Wakaf Media dalam fasa pendanaan, infrastruktur dan pembangunan aset secara profesional dan patuh syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, wakaf bukan sekadar menekankan pembangunan ekonomi dan fizikal tetapi turut merangkumi pembinaan jiwa dan pembentukan pemikiran, nilai serta akhlak masyarakat melalui penyampaian mesej Islam yang sahih dan berwibawa.

“Agensi hal ehwal agama akan bekerjasama untuk memperkukuh peranan sebagai satu pasukan dalam mengatur serta merancang agenda hal ehwal agama. Dalam konteks ini, agenda dakwah bukan sahaja bertujuan menjadi pencetus kepada masyarakat untuk berwakaf, malah yang lebih penting adalah membudayakan amalan wakaf di Malaysia.

“Kita mahu menunjukkan bahawa budaya wakaf sudah wujud dalam kalangan masyarakat, bukan sekadar diamalkan oleh segelintir pihak sahaja. Ini kerana kita perlu membentuk dan memupuk minda wakaf dalam masyarakat,” katanya selepas melancarkan Tabung Dana Wakaf Media di sini.

Wakaf berkenaan merupakan kerjasama strategik antara Yayasan Wakaf Malaysia dan sebuah stesen penyiaran Islam swasta tempatan sebagai langkah memperkukuh ekosistem dakwah Islam yang mampan dan berdaya saing.

Ia bakal dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu pendanaan kandungan berteraskan ilmu, pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan sokongan diikuti dengan pembinaan bangunan dan aset berkaitan.

Dr. Zulkifli turut berharap agar inisiatif itu akan terus memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju wakaf kontemporari di peringkat dunia Islam dengan pengurusan yang sistematik, profesional dan patuh syariah.