‘Yang Berlalu Tak Berulang’ nyanyian mendiang Lotter, karya Allahyarham Loloq diberi nafas baharu

Didie Shazry

KUALA LUMPUR, 23 April- Penyanyi muda, Didie Shazry tampil menghidupkan semula lagu malar segar ‘Yang Berlalu Tak Berulang’, yang pernah dipopularkan oleh mendiang Lotter, dengan lirik hasil nukilan Allahyarham Loloq.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman diterbitkan oleh Luncai Emas dengan persetujuan komposer Neves Pretty Ugly.
  • Neves menyifatkan karya ini bermakna secara sentimental dan relevan merentas generasi.
  • Rakaman di Jakarta; adunan dan mastering oleh Josecar Q.M Hutabarat; video muzik di Bali; pelancaran 24 April melalui YouTube Luncai Emas dan penstriman.

Rakaman semula lagu berkenaan diterbitkan oleh Luncai Emas dengan persetujuan komposer asal, Neves Pretty Ugly.

Menurut Neves, karya tersebut mempunyai nilai sentimental yang tinggi dan kekal relevan merentas generasi.

Didie mengakui lagu berkenaan dekat di hatinya sejak kecil dan menyifatkan peluang merakamkannya semula sebagai satu penghormatan kepada dua figura seni yang menjadi inspirasinya.

Rakaman lagu itu dijalankan di Jakarta bersama produser Joel Christine, manakala proses adunan dan ‘mastering’ disempurnakan oleh Josecar Q.M Hutabarat.

Video muzik pula dirakam di Bali, Indonesia di bawah arahan Alfi Aditya.

Single berkenaan bakal dilancarkan menerusi saluran YouTube Luncai Emas dan platform penstriman digital pada pukul 4.00 petang esok dengan sasaran menarik perhatian pendengar lama dan generasi baharu, sekali gus menghidupkan kembali legasi karya penuh makna itu.

Didie, anak kelahiran Sabah, mula dikenali selepas menjuarai program Raise The Star.