Kanak-kanak lemas selepas selamatkan dua rakan di Sungai Bunut Payong

Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan detik mangsa ditemukan pihak bomba

KOTA BHARU, 14 Januari -Pengorbanan seorang kanak-kanak berakhir dengan tragedi apabila dia ditemukan meninggal dunia selepas berjaya menyelamatkan rakan-rakannya yang lemas di Sungai Bunut Payong, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak berusia 12 tahun meninggal dunia selepas menyelamatkan rakan-rakan yang lemas di Sungai Bunut Payong.
  • Mangsa, Muhammad Naim Zahir Alam, ditemui di dasar sungai pada kedalaman dua meter beberapa jam selepas kejadian.
  • Ibu mangsa berkata anaknya tidak pandai berenang tetapi tetap terjun untuk menolong dua rakan.
  • Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 12 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air, mayat ditemui pada 4.41 petang.

Mangsa, Muhammad Naim Zahir Alam, 12 tahun, ditemukan di dasar sungai pada kedalaman dua meter, beberapa jam selepas kejadian dilaporkan.

Ibu mangsa, Maizatul Akma Zakaria, 45 tahun berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tiga rakannya mandi di sungai berkenaan sebelum dua daripada mereka lemas.

Menurut Maizatul Akma, anaknya terjun ke sungai untuk membantu walaupun tidak pandai berenang.

“Muhammad Naim pada mulanya berjaya menyelamatkan seorang rakan, sebelum turun semula ke sungai bagi membantu seorang lagi rakan yang masih lemas.

Saya dengar kawan-kawan dia suruh jangan turun lagi, tapi dia tetap turun nak tolong. Kawan dia selamat, anak saya pula yang lemas,” katanya sebak.

Maizatul memberitahu, ketika kejadian, beliau sedang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan hanya dimaklumkan mengenai insiden itu sekitar 3.10 petang oleh pengasuh anaknya.

Beliau bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmad Fakarudin Berahim memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.07 petang.

Seramai 12 anggota, termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari mangsa.

Mayat Muhammad Naim akhirnya ditemukan pada 4.41 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut.