Tiga maut, tiga cedera dalam kemalangan dua kenderaan

Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kampung Paloh, Jalan Kuala Krai–Gua Musang/ JBPM Kelantan

GUA MUSANG, 13 Januari – Tiga lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Kampung Paloh, Jalan Kuala Krai–Gua Musang kira-kira 1.01 tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lelaki meninggal dunia di lokasi manakala tiga lagi cedera selepas pertembungan antara MPV dan van.
  • JBPM Gua Musang tiba pada 1.43 tengah hari dan mendapati tiga mangsa tersepit dalam kenderaan.
  • Operasi penyelamatan diketuai PBK I Che Razak Harun dengan bantuan anggota dan beberapa kenderaan operasi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Bilik Gerakan Polis sebelum menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 55 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 1.43 tengah hari dan mendapati kemalangan melibatkan enam mangsa, dengan tiga mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan.

“Tiga lelaki dewasa berusia 47, 43 dan 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian menerusi pengesahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala dua lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa mengalami kecederaan,” menurut kenyataan itu.

Operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Che Razak Harun selaku Komander Operasi, dibantu sebelas anggota melibatkan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah van.

Che Razak ketika dihubungi berkata, mangsa yang meninggal dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) bertembung dengan van yang datang dari arah bertentangan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan