fb fb fb fb fb

Zverev enggan bayar denda, anggap tuduhan serang bekas teman wanita merepek

Alexander Zverev / AFP

PARIS, 2 November- Pemain tenis Jerman Alexander Zverev menolak denda berjumlah 450,000 euro (AS$475,300) yang dikenakan terhadapnya atas dakwaan menyerang seorang wanita pada Mei 2020 dan menganggap dakwaan tersebut sebagai merepek.

“Saya fikir ia adalah merepek,” kata pemain nombor sembilan dunia, selepas kemenangan pusingan kedua dalam Masters Paris pada Rabu.

Zverev telah dituduh menyerang seorang wanita secara fizikal sekali gus menjejaskan kesihatan mangsa semasa pertengkaran di ibu negara Jerman lebih tiga tahun lalu, kata jurucakap mahkamah Berlin pada Selasa.

Nama pengadu tidak disebut oleh mahkamah, tetapi peguam Zverev menolak tuduhan itu dalam satu kenyataan dan menamakan wanita itu sebagai Brenda Patea, bekas teman wanita pemain tenis berkenaan.

Dakwaan yang dibuat oleh Patea dijadikakn asas kepada perintah penalti, telah pun disangkal oleh laporan perubatan forensik, kata peguam.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE