LONDON,11 Mei - Pengurus West Ham, David Moyes berkata keputusan meninggalkan kelab tersebut pada penghujung musim ini merupakan keputusan terbaik yang diambil oleh pengurusan kelab.
Moyes berkata langkah itu membolehkannya untuk meneruskan karier sebagai pengurus.
Pada Isnin, kelab timur London itu mengumumkan bahawa kelab itu telah mencapai persetujuan bersama dengan bekas pengurus berusia 61 tahun itu yang akan meninggalkan kelab berkenaan selepas tamat kontrak.
Bekas pengurus Sepanyol, Julen Lopetegui disebut-sebut sebagai calon pilihan menggantikan Moyes musim depan.
"Secara jujurnya, saya sangat selesa dengan situasi ini. Saya selesa dengan Lembaga Pengarah kelab dan segalanya baik-baik sahaja", kata Moyes ketika bercakap kepada pemberita berkaitan masa depannya di sini menjelang perlawanan terakhir West Ham di gelanggang sendiri berdepan Luton Town.
"Saya mencintai sukan bola sepak dan masih ingin terlibat dalam sukan ini. Saya merupakan antara segelintir pengurus yang terlibat dalam 1,000 perlawanan di Liga Perdana Inggeris yang menghimpunkan pengurus terbaik yang datang dan pergi", tambah Moyes.
Moyes dilantik mengemudi skuad 'The Hammers' pada 2019 dan berjaya membimbing skuad itu menjuarai Liga Konferensi Europa musim lalu selepas kali terakhir memenangi Piala FA pada 1980.
West Ham kini berada di tangga kesembilan liga dengan 49 mata.-REUTERS