fb fb fb fb fb

Skuad hoki 5s kebangsaan terima bonus RM80,000

Hannah Yeoh menyambut kepulangan skuad hoki 5s lelaki kebangsaan di KLIA awal pagi tadi

SEPANG, 2 Februari- Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara bakal menerima ganjaran sebanyak RM80,000 selepas meraih gelaran naib juara pada saingan Piala Dunia Hoki 5s yang berlangsung di Muscat, Oman.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, selain ganjaran, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut akan membayar semula segala kos yang dikeluarkan Kesatuan Hoki Malaysia, (KHM), bagi menanggung pasukan ke kejohanan edisi sulung itu.

Untuk tujuan itu katanya, KHM telah diminta mengira jumlah kos untuk dibayar balik.

"Mereka telah bekerja keras, walaupun tiada bantuan sebelum ini, mereka pasukan baru namun telah memberikan yang terbaik.

"Ini adalah semangat yang kita cari dalam semua atlet kita,"katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Hannah Yeoh turut memaklumkan, KBS akan mengusahakan peruntukkan hampir RM3.9 juta bagi membantu pasukan berkenaan membuat persiapan menjelang Piala Dunia 2028.

Beliau menekankan peruntukkan itu bertujuan untuk mempersiapkan pasukan hoki 5s ke pentas antarabangsa yang lebih kompetitif dalam tempoh empat tahun.

Hannah ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menyambut kepulangan pasukan hoki 5s lelaki awal pagi tadi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE