
PORT DICKSON, 18 Julai – Perjalanan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini berjalan lancar dan tiada laporan diterima setakat ini.
- Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad mengatakan keadaan terkawal kerana penyokong mematuhi arahan polis.
- Sekitar 2,373 pegawai dan anggota dikerahkan untuk mengawal keselamatan di pusat penamaan calon dan perkarangan.
- Polis menasihatkan kempen berhemah, mengelak isu sensitif 3R, serta larangan provokasi, hasutan dan fitnah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, keadaan terkawal apabila semua penyokong parti mematuhi segala arahan polis sepanjang tempoh penamaan calon pagi tadi.
Pihaknya juga telah mengatur gerak lebih kurang 2,373 pegawai dan anggota untuk mengawal selia keselamatan dan ketenteraman di dalam pusat penamaan calon dan perkarangan.
“Antara pesanan pihak polis ialah supaya semua pihak menjalankan aktiviti berkempen, khususnya ceramah atau apa jua program, dengan penuh berhemah dan berlandaskan prinsip demokrasi.
“Sebelum ini, kita juga telah memanggil wakil ketua parti bagi mengingatkan mereka supaya tidak menyentuh perkara sensitif, termasuk isu 3R (agama, bangsa, institusi raja), atau mengeruhkan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi, hasutan atau fitnah yang boleh mencetuskan kebencian serta perpecahan kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini.
Beberapa kumpulan pemantau telah ditubuhkan untuk PRN Negeri Sembilan ke-16 bagi memastikan segala peraturan dan arahan sepanjang tempoh berkempen dapat dilaksana dengan sebaik mungkin.