Ekonomi Malaysia tumbuh 5.8 peratus pada suku kedua 2026

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada Suku Tahun Kedua (ST2) 2026, meningkat berbanding 5.4 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan dipacu sektor perlombongan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan; sektor pertanian menyusut.
  • Perkhidmatan terus penyumbang utama disokong perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.
  • Ekonomi kekal berdaya tahan tetapi risiko kelembapan dan kejutan bekalan dari ketegangan geopolitik boleh meningkatkan kos tenaga, pengangkutan dan makanan.

Berdasarkan Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ST2 2026, pertumbuhan itu dipacu oleh sektor perlombongan dan pengkuarian yang berkembang 10.2 peratus, diikuti sektor pembuatan (7.5 peratus), pembinaan (6.6 peratus) dan perkhidmatan (5.4 peratus).

Bagaimanapun, sektor pertanian menguncup 3.7 peratus.

Sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara, disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.

Penyelidik Kanan South-East Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC), Dr. Mikhail Rosli berkata, prestasi tersebut menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut beliau, walaupun pertumbuhan ekonomi masih berada pada landasan positif, risiko kelembapan semakin meningkat sekiranya ketegangan geopolitik dan ekonomi global berterusan.

“Pertumbuhannya masih positif, tetapi risiko kelembapan semakin besar. Jika ketegangan ini berterusan, risiko utamanya ialah kejutan bekalan, khususnya melibatkan minyak, petrokimia dan barangan yang melalui laluan perdagangan utama,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata, gangguan tersebut berpotensi meningkatkan kos tenaga, pengangkutan dan makanan, sekali gus memberi tekanan kepada pengguna serta perniagaan.

“Ancaman utama bukan sekadar pertumbuhan yang lebih perlahan, tetapi kejutan bekalan yang boleh mencetuskan inflasi yang lebih tinggi dan gangguan aktiviti perniagaan,” katanya.

Sementara itu, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus bagi separuh pertama 2026, meningkat berbanding 4.5 peratus yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Laporan KDNK Preliminari ST2 2026 dijadual diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Ogos depan bagi memberikan gambaran yang lebih terperinci mengenai prestasi ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.