
NEW YORK, 18 Julai – Ketua pasukan Sepanyol, Rodri, bersedia untuk mengharungi perlawanan sengit dan menguji fizikal apabila turun menentang juara bertahan, Argentina, dalam aksi akhir Piala Dunia pada Isnin.
- La Roja tidak akan melayan provokasi, sebaliknya akan fokus pada perancangan taktikal untuk menyekat kemaraan Argentina.
- Rodri ingatkan rakan sepasukan agar tidak hanya fokus kepada Messi, kerana ancaman Argentina hadir secara berpasukan.
- Sepanyol mampu mempelbagaikan corak permainan sama ada bertahan, serangan balas pantas atau menyerang penuh.
- Argentina tunjuk kekuatan mental dalam pusingan kalah mati, jadi Sepanyol perlu tingkatkan mutu permainan.
Pemenang anugerah Ballon d’Or 2024 itu menegaskan skuad La Roja tidak akan melayan sebarang bentuk provokasi daripada lawan, sebaliknya mahu memanfaatkan perancangan taktikal pasukan untuk menyekat kemaraan gergasi Amerika Selatan itu di Stadium MetLife.
Beliau yang juga bintang tengah Manchester City turut mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak hanya memfokuskan Lionel Messi yang dilabelnya sebagai “pemain terbaik sepanjang zaman” memandangkan Argentina memiliki barisan pemain yang lengkap di setiap posisi.
“Saya fikir perlawanan Isnin ini akan menjadi sangat berbeza. Ia akan menjadi lebih fizikal dan kami mesti bersedia.
“Namun, saya percaya jika ada satu perkara yang sinonim dengan pasukan kebangsaan ini, ia adalah keupayaan kami untuk mempelbagaikan corak permainan mengikut situasi semasa.
“Jadi kami boleh menyesuaikan diri sama ada perlu bertahan, melancarkan serangan balas pantas, mahupun menyerang. Kami adalah sebuah pasukan yang sangat lengkap dan itulah sebabnya kami berada di sini,” katanya dalam sidang media di Manhattan pada Jumaat.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Argentina menggunakan taktik provokasi, Rodri menyifatkan perkara itu sebagai sebahagian daripada lumrah bola sepak tetapi mahu rakan sepasukannyauntuk kekal tenang.
“Kita akan lihat bagaimana perlawanan itu berlangsung. Saya lebih suka berfikir bahawa (Argentina) adalah pasukan kebangsaan yang sentiasa memberikan segalanya dan tidak akan menggunakan pendekatan sedemikian.
“Namun, sekiranya perlawanan menuju ke arah itu, kami jelas sekali perlu mengabaikannya dan cuba bermain mengikut corak sendiri agar tidak terjebak dengan provokasi mereka,” jelasnya.
Mengulas mengenai Messi yang hampir pasti beraksi dalam perlawanan Piala Dunia terakhir dalam kerjayanya, Rodri mengakui impak besar yang dibawa oleh bintang veteran itu, namun menegaskan ancaman Argentina hadir secara berpasukan.
Argentina mara ke perlawanan akhir selepas menempuh ranjau berliku dalam pusingan kalah mati, termasuk menewaskan Cape Verde dalam masa tambahan serta bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan dramatik ke atas Mesir dan England.
Menurut Rodri, keputusan berkenaan membuktikan kekuatan mental dan karakter tinggi yang dimiliki oleh skuad Albiceleste, sekali gus menuntut Sepanyol mempamerkan aksi yang lebih bertenaga berbanding ketika mereka menewaskan Perancis di separuh akhir.
“Saya fikir kami perlu meningkatkan tahap permainan kerana mereka adalah juara bertahan. Dan saya amat yakin kami mampu melakukannya,” katanya. – AFP