Piala Dunia 2026: Infantino, Trump puji kejayaan penganjuran

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino / REUTERS

NEW YORK, 18 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino, saling menghamburkan pujian antara satu sama lain atas kejayaan penganjuran Piala Dunia 2026 yang kini menghampiri penghujungnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Infantino menyifatkan Piala Dunia 2026 sebagai manifestasi "American Dream" yang menjadi kenyataan hasil sokongan padu Trump.
  • Final menampilkan Argentina menentang Sepanyol di Stadium MetLife, aksi penutup yang menarik perhatian dunia.
  • Trump berseloroh agar AS menjadi tuan rumah tunggal atau penganjur bersama China, merujuk kepada kemudahan penerbangan.
  • Infantino berterima kasih atas komitmen pentadbiran AS; edisi pertama 48 negara dijangka catat rekod kehadiran dan pulangan komersial.

Bercakap dalam satu majlis resepsi di Trump Tower pada Jumaat, Infantino menyifatkan kejohanan bola sepak berprestij itu sebagai manifestasi “American Dream” (impian Amerika) yang menjadi kenyataan hasil sokongan padu yang diberikan oleh Trump.

Kempen Piala Dunia 2026 yang dihoskan bersama oleh AS, Kanada, dan Mexico bakal melabuhkan tirainya pada Ahad ini menerusi aksi final tumpuan yang mempertemukan Argentina dan Sepanyol di Stadium MetLife, New Jersey.

Dalam majlis berkenaan, Trump turut mencuri tumpuan apabila secara berseloroh mencadangkan agar AS menjadi tuan rumah tunggal bagi edisi Piala Dunia akan datang, atau menjadi penganjur bersama China.

“Dengan cara itu, anda akan menikmati penerbangan singkat yang menyenangkan di antara setiap perlawanan,” seloroh beliau, merujuk kepada jarak geografi yang sangat jauh antara kedua-dua negara berkenaan.

Selain isu penganjuran, Trump turut berjeneka tentang penyingkiran England di peringkat separuh akhir oleh Argentina baru-baru ini.

Beliau mendakwa England mungkin melakukan kesilapan taktikal yang besar apabila menukar peranan kapten pasukan, Harry Kane, menjadi “pemain bertahan” pada minit-minit akhir perlawanan.

Trump menyifatkan Kane sebagai seorang pemain yang “hebat” dan mendedahkan beliau pernah bermain golf bersama penyerang itu pada awal tahun 2025, sebelum mempersoalkan pendekatan taktikal saat-saat akhir oleh pengurus England, Thomas Tuchel.

“Apa yang saya tahu tentang bola sepak?. Mereka mengambil pemain terbaik mereka dan meletakkannya di posisi pertahanan,” seloroh Trump.

Dalam aksi separuh akhir dramatik itu, England tewas 2-1 kepada Argentina biarpun terlebih dahulu mendahului pada babak kedua, sekali gus mengundang kritikan hebat terhadap keputusan Tuchel yang melakukan pertukaran bersifat terlalu bertahan.

Sementara itu, Infantino menzahirkan ucapan terima kasih kepada Trump atas komitmen jitu dan bantuan pentadbiran AS dalam memastikan kelancaran kejohanan terbesar dunia tersebut yang melibatkan penyertaan 48 buah negara buat kali pertama dalam sejarah.

Penganjuran edisi kali ini yang berbaki satu sahaja lagi perlawanan dijangka mencatatkan rekod kehadiran penonton dan pulangan komersial tertinggi sebelum aksi penutup di Stadium MetLife, East Rutherford, Isnin ini. – REUTERS

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.